Jishan cadang pindah penyenaraian dari LEAP ke Pasaran ACE dalam tempoh setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jishan cadang pindah penyenaraian dari LEAP ke Pasaran ACE dalam tempoh setahun

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Dis - Pengeluar produk pembungkusan, Jishan Bhd yang tersenarai di Pasaran LEAP, bercadang memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi meluaskan penyertaan pelabur serta meningkatkan peluang pengumpulan dana.

 

Bagi memudahkan pemindahan penyenaraian itu, Jishan akan menarik diri secara sukarela daripada Pasaran LEAP dan memohon penyenaraian serta sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitannya di Pasaran ACE.

 

Syarikat bercadang melaksanakan tawaran awam saham baharu dan/atau tawaran untuk jualan saham sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham utama, dengan butiran seperti jumlah, harga terbitan dan kumpulan pelabur akan ditentukan kemudian.

 

Setakat 12 Disember 2025, modal saham terbitan Jishan berjumlah RM29.97 juta, terdiri daripada 235.15 juta saham.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pemindahan penyenaraian berkenaan akan memberi akses kepada kumpulan pelabur runcit dan institusi yang lebih luas, meningkatkan kecairan serta kebolehpasaran sahamnya, selain menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang.

 

“Cadangan pemindahan penyenaraian ini akan terus memperkukuh kredibiliti dan reputasi syarikat serta memberikan pengiktirafan yang lebih besar daripada pelbagai pihak berkepentingan,” menurut Jishan.

 

Pelaksanaan cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Jishan pada mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan pada suku pertama 2026, selain kelulusan Bursa Securities, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi peruntukan saham Bumiputera.

 

Permohonan kepada pihak berkuasa kawal selia dijangka dikemukakan pada suku kedua 2026, dengan sasaran pemindahan penyenaraian diselesaikan menjelang suku keempat 2026.


 

Ng Eng Siong

 

Pengarah dan pemegang saham utama, Ng Eng Siong (gambar), yang memegang 42% kepentingan dalam Jishan Capital Sdn Bhd — syarikat pegangan muktamad Jishan — dianggap berkepentingan dalam cadangan tersebut dan akan mengecualikan diri daripada perbincangan lembaga pengarah serta pengundian.

 

Jishan, yang disenaraikan di Pasaran LEAP pada Februari 2021 pada harga 18 sen sesaham, mencatatkan keuntungan bersih RM9.36 juta dengan hasil RM111.56 juta bagi tahun kewangan 2024. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, syarikat merekodkan keuntungan bersih RM4.21 juta daripada hasil RM68.84 juta.

 

Syarikat itu memaklumkan dalam laporan keputusan kewangannya pada Ogos akan terus memperkukuh kecekapan operasi, mengoptimumkan modal kerja, serta menumpukan kepada pengembangan segmen produk pembungkusan kertas dan plastik, di samping menilai potensi pertumbuhan dalam aktiviti perdagangan.

 

Saham Jishan dibuka pada 69 sen pagi ini sehari selepas Krismas, menjadikan nilai pasaran syarikat itu sebanyak RM162.25 juta. - DagangNews.com