KUALA LUMPUR 24 Sept – Meskipun subsidi RON95 untuk rakyat tanpa mengira tahap pendapatan, kerajaan tetap menikmati penjimatan besar hasil pengecualian warga asing dan perniagaan tidak layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setiap ringgit hasil subsidi yang dijimatkan itu adalah berbaloi, kerana boleh digunakan untuk mengurangkan defisit negara atau dilaburkan semula.
Di bawah mekanisme baharu dikenali sebagai Budi Madani RON95 (BUDI95), rakyat Malaysia memiliki lesen memandu sah layak membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga subsidi RM1.99 seliter.
“Penjimatan sebanyak RM2.5 bilion setahun bukan jumlah kecil. Kalau dapat jimat sampai RM4 bilion, itu sudah dianggap sebagai sangat baik,” katanya pada taklimat media mengenai program BUDI95.
BUDI95 akan bermula 30 September 2025 dengan warganegara Malaysia yang berkelayakan akan menikmati subsidi RON95 lebih rendah berbanding harga semasa ketika ini ditetapkan sebanyak RM2.05 seliter.
Ia dijangka memberi manfaat kepada 99.3% pengguna yang setiap bulan mengisi kurang 300 liter petrol itu selain menyekat ketirisan subsidi ke tangan warga asing dan syarikat tidak layak.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pendekatan bersasar ini dipilih agar lebih mudah diterima masyarakat berbanding pelaksanaan harga apungan yang dibimbangi boleh melonjakkan kadar inflasi.
“Perubahan mesti boleh diterima oleh masyarakat. Kita lihat realiti rakyat dan bukannya hanya angka semata-mata, malah saya tetap gembira daripada langsung tidak dapat apa-apa balik,” kata beliau.
Langkah pelaksanaan BUDI95, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menyusun semula subsidi pukal negara, selepas pendekatan sama digunakan untuk minyak diesel dan tarif bekalan elektrik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini pernah menegaskan pelaksanaan reformasi subsidi berkenaan dijamin sebagai tidak akan menjejaskan antara 85% hingga 90% rakyat Malaysia.
Dengan harga pasaran RON95 mencecah RM2.60 seliter, subsidi bersasar ini dijangka menelan belanja RM11 bilion setahun ketika harga minyak mentah semasa sekitar AS$80 (kira-kira RM336) setong.
Kerajaan katanya, memilih untuk melindungi kepentingan majoriti rakyat sambil menutup masalah ketirisan subsidi dan dalam masa yang sama berusaha mengimbangi keperluan fiskal negara.
Program BUDI95 dilihat sebagai langkah kerajaan yang berusaha mengekalkan bantuan kepada rakyat, namun lebih tersasar dan berhemah. - DagangNews.com








