KUALA LUMPUR 24 April – Projek hidroelektrik utama Jentayu Sustainables Bhd (JSB) dikenali sebagai Project Oriole di Sabah sekali lagi mengalami penangguhan, dengan tarikh operasi komersial kini ditetapkan pada 30 April 2030.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata semakan semula jadual projek dibuat susulan lanjutan tarikh penutupan kewangan selama enam bulan kepada 31 Oktober 2026, berbanding jadual sebelum ini.
Penangguhan terbaharu ini menjadikan ia kali ketiga tarikh operasi projek berkapasiti 162 megawatt itu disemak semula sejak peringkat awal pelaksanaannya.
Pada asalnya, projek tersebut dijadualkan beroperasi pada 31 Disember 2029 berdasarkan surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS), sebelum dipinda kepada 1 Jun 2029 selepas pemeteraian perjanjian pembelian tenaga bersama Sabah Electricity Sdn Bhd.
Tarikh tersebut kemudiannya disemak semula kepada September 2029 sebelum ditangguhkan lagi kepada April 2030 dalam semakan terkini.
Project Oriole merupakan projek hidroelektrik aliran sungai bernilai RM2.8 bilion yang dibangunkan di Hulu Sungai Padas, Sipitang, Sabah dan antara projek tenaga boleh diperbaharui terbesar di negeri itu.
Projek berkenaan dilaksanakan melalui Oriole Hydro Padas Sdn Bhd, di mana Jentayu memegang 70 peratus kepentingan, manakala Sabah Electricity Sdn Bhd memegang 20 peratus dan Yayasan Sabah 10 peratus.
Sebelum ini, projek tersebut turut berdepan cabaran undang-undang apabila seorang pemegang saham memfailkan tindakan mahkamah pada Disember tahun lalu bagi mencabar kesahihan satu mesyuarat agung luar biasa berkaitan cadangan penempatan persendirian untuk mengumpul sehingga RM45.26 juta.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan memihak kepada syarikat pada Februari 2026, sekali gus membolehkan proses penerbitan saham diteruskan seperti dirancang.
Dalam perkembangan lain, Jentayu memaklumkan Majlis Tenaga Sabah telah meluluskan kenaikan tarif sementara bagi projek tersebut kepada 32.04 sen bagi setiap kilowatt-jam, berbanding 31.50 sen sebelum ini.
Walau bagaimanapun, pelarasan tarif tersebut masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian pembelian tenaga tambahan antara pihak berkaitan.
Setelah siap dan beroperasi sepenuhnya, projek ini dijangka menjana pendapatan berulang sekitar RM300 juta setahun kepada kumpulan, berdasarkan kapasiti pengeluaran tenaga yang dipersetujui dalam perjanjian pembelian kuasa selama 40 tahun bersama Sabah Electricity Sdn Bhd. - DagangNews.com








