JC Chemical rancang bina loji proses minyak masak terpakai jadi bahan api penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JC Chemical rancang bina loji proses minyak masak terpakai jadi bahan api penerbangan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 3 Nov – Syarikat Korea Selatan, JC Chemical, sedang meneliti rancangan untuk menubuhkan kemudahan pemprosesan minyak masak terpakai di Malaysia bagi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF).

 


Langkah itu dilihat mampu memperkukuh aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau tenaga penerbangan hijau, seiring usaha global mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

 


Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, inisiatif tersebut sejajar dengan pelaksanaan Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menumpukan kepada transformasi industri berimpak tinggi dan mampan.

 


Katanya, projek berkenaan bukan sahaja akan mengukuhkan rantaian nilai biofuel negara, malah berpotensi menarik pelaburan langsung asing (FDI) baharu ke dalam sektor tenaga bersih yang sedang pesat berkembang.

 


“Masa depan penerbangan hijau bermula di sini,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini, sambil menegaskan kerjasama itu akan mengubah sisa kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) serta memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem penerbangan mampan di rantau ini.

 


Jika direalisasikan, pelaburan JC Chemical akan menjadi penanda aras penting bagi agenda tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi kitaran Malaysia, dengan menukar sisa harian kepada bahan api lebih bersih serta menyokong matlamat negara ke arah masa depan rendah karbon. - DagangNews.com