KUALA LUMPUR 5 Mei — Jaycorp Berhad membeli baki kira-kira 40% ekuiti dalam Jaycorp Green Energy Sdn Bhd (JGE) daripada Microban (M) Sdn Bhd, dengan pertimbangan tunai mencecah RM15.0 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, ia susulan pemeteraian perjanjian jual beli saham (SSA) dan merancang mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
Langkah terbaharu berkenaan yang ditandatangani pada 30 April 2026 jelas kumpulan itu, merupakan sebahagian daripada strategi untuk membina perniagaan yang lebih berdaya tahan selepas ini kelak.
"Setelah selesai pengambilalihan tersebut, JGE yang kini merupakan anak syarikat milik 60.0% akan berubah menjadi anak syarikat milik penuh Jaycorp secara langsung," tambah kumpulan itu lagi.
Ujarnya, langkah kepelbagaian syarikat ini akan merangkumi portfolio pelaburan, pembangunan, dan operasi aset RE termasuk perkhidmatan tenaga solar, biojisim, biogas, dan sisa kepada tenaga (WTE).
Keputusan ini dibuat memandangkan prestasi kewangan segmen tradisional kumpulan seperti perabot, pembungkusan, dan pemprosesan kayu menunjukkan ketidaktentuan, manakala segmen RE kekal stabil.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025, JGE kata Jaycorp, merekodkan lonjakan hasil kira-kira 42.24% kepada RM15.47 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) mencapai sebanyak RM1.61 juta.
"Kami ketika ini sedang melaksanakan projek perluasan melalui JGE yang melibatkan pemasangan sistem dandang biojisim 70 tan sejam (TPH) baharu di Pasir Gudang, Johor," jelas kumpulan berkenaan.
Projek baharu yang dijangka siap pada tahun 2027 ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan stim biojisim JGE kepada 95 TPH, iaitu peningkatan kira-kira 280.0% daripada kapasiti yang sedia ada.
Penggunaan bahan api daripada tandan kosong kelapa sawit yang dicarik untuk dandang terkini itu ujar Jaycorp, dijangka mengurangkan kos bahan mentah dan meningkatkan margin keuntungan operasi.
Pertimbangan pembelian ekuiti itu akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman kumpulan, namun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang.
"Berdasarkan prospek sektor RE dan sokongan dasar kerajaan, Lembaga Pengarah optimis langkah ini menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya. - DagangNews.com








