KUALA LUMPUR 3 Nov – Jaya Tiasa Holdings Berhad bakal mempercepatkan program penanaman semula kelapa sawit dengan sasaran 1,743 hektar bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2026 (FY26).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jin Kee Mou berkata, ia sebagai sebahagian usaha meningkatkan kecekapan hasil jangka panjang kumpulan perladangan itu dan mengoptimumkan profil usia pokok.
Menurutnya, pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), syarikat menanam semula 593 hektar dengan klon sawit tahan penyakit dan berproduktiviti tinggi, bagi memastikan peningkatan tuaian.
“Proses penanaman semula dijalankan secara progresif dan strategik bagi meminimumkan gangguan pengeluaran serta mengoptimumkan penggunaan sumber,” kata beliau dalam laporan tahunan FY25.
Sehingga 30 Jun 2025, Jaya Tiasa memiliki 67,631 hektar ladang sawit di 10 estet, dengan hampir keseluruhan kawasan sudah matang, selain mengendalikan empat kilang minyak sawit mentah (MSM).
Pada FY25, segmen sawit mencatatkan kenaikan hasil 14% kepada RM1.09 bilion, menyumbang 93% kepada hasil kumpulan berjumlah RM1.17 bilion, manakala untung kasar meningkat 14% kepada RM317.5 juta.
Jelas Kee Mou, walaupun pengeluaran buah tandan segar (BTS) susut 8% kepada 1.06 juta tan akibat cuaca buruk dan fenomena El Nino, purata harga jualan MSM meningkat 15% kepada RM4,332 satu tan.
Harga isirung sawit pula melonjak 50% kepada RM2,998 satu tan dan pertumbuhan segmen sawit dipacu peningkatan 16% aktiviti pemprosesan MSM, walaupun kos operasi naik sebab pengeluaran rendah.
"Kami menjangka prestasi FY26 kekal kukuh sekiranya harga MSM terus stabil, dengan operasi kilang dijangka beroperasi baik dan lebih tahan terhadap turun naik harga minyak sawit," kata beliau.
Bagi segmen kayu, Jaya Tiasa mencatatkan peningkatan hasil 11% kepada RM62.7 juta pada FY25, manakala kerugian sebelum cukai susut kepada RM38.1 juta berbanding RM52.3 juta tahun sebelumnya.
Syarikat berpusat di Sibu, Sarawak itu, memiliki tiga konsesi hutan seluas 414,362 hektar dan tanah penanaman semula 120,395 hektar, dengan 50,604 hektar sudah ditanam kembali setakat ini.
Jaya Tiasa kata Kee Mou, mengekalkan operasi kayu bagi memegang lesen dan mengekalkan akses masa depan sumber hutan, sambil komitmen kepada pengurusan hutan mampan dan pematuhan alam sekitar.
Selain perladangan dan kayu, syarikat itu mula meneroka sektor hartanah melalui pemerolehan tanah di Sibu bernilai RM100 juta bagi projek pembangunan bercampur, dibiayai melalui dana dalaman.
"Langkah strategik ini bertujuan mempelbagaikan aliran pendapatan dan mengimbangi turun naik harga komoditi, khususnya minyak sawit, sambil memanfaatkan permintaan hartanah di Sarawak," katanya.
Belau menambah, walaupun sawit kekal sebagai perniagaan utama Jaya Tiasa, usaha itu sejajar dengan strategi pertumbuhan mapan jangka panjang bagi mewujudkan pendapatan stabil dan secara berulang.
Justeru, dengan strategi agresif penanaman semula, penekanan terhadap kecekapan operasi, serta usaha perluasan ke sektor hartanah, ia terus memperkukuh kedudukannya di Sarawak. - DagangNews.com








