Jati Tinggi raih kontrak RM42.88 juta daripada Worktime Engineering bagi kerja kabel bawah tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jati Tinggi raih kontrak RM42.88 juta daripada Worktime Engineering bagi kerja kabel bawah tanah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 SeptJati Tinggi Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM42.88 juta daripada Worktime Engineering Sdn Bhd.


Kumpulan itu berkata, ia untuk kerja-kerja subkontrak pemasangan kabel bawah tanah voltan 11kV bagi Zon Utara dan Zon Selangor, dengan tempoh pelaksanaan 20 bulan dari tarikh notis mula kerja.


Tambahnya, skop kerja merangkumi pembekalan paip dan pemasangan kabel kuasa serta kabel gentian optik, kerja-kerja sambungan, ujian dan pentauliahan serta segala kerja sampingan berkaitan.


"Kami dikehendaki menyediakan bon pelaksanaan dan perlindungan insurans komprehensif termasuk risiko pembinaan dan pampasan pekerja," kata Jati Tinggi dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Kontrak ini dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya dengan tiada kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama.


Bagaimanapun tambah kumpulan berkenaan, risiko utama yang dikenal pasti adalah yang berkaitan dengan operasi biasa serta cabaran berikutan pelaksanaan projek infrastruktur bawah tanah.


Jati Tinggi turut mengesahkan yang tiada sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung membabitkan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak terbaharu tersebut.


"Lembaga Pengarah berpendapat penerimaan kontrak ini adalah langkah strategik yang menguntungkan syarikat dan sejajar dengan pengembangan teras perniagaan kumpulan," katanya. - DagangNews.com