KUALA LUMPUR 28 Mac - Jati Tinggi Group Berhad memperoleh kontrak terbaharu sebanyak RM48.38 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membangunkan pautan bekalan tenaga kepada kawasan pembangunan pusat data di Johor.
Syarikat infrastruktur dan kejuruteraan itu berkata, Jati Tinggi Holdings Sdn Bhd milik penuhnya telah mendapat surat penerimaan (LOA) daripada kumpulan utiliti tersebut untuk tender kerja sambungan pukal 275KV melalui bekalan sementara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, projek berkenaan termasuk pembekalan tenaga, pemasangan dan ujian kabel bawah tanah, talian penghantaran atas, pencawang, peralatan voltan tinggi serta perlindungan kilat.
Projek tersebut menurut Jati Tinggi, dijadualkan dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 270 hari.
Jati Tinggi bagaimanapun dikehendaki mengemukakan jaminan prestasi kerja dalam tempoh 56 hari dari tarikh LOA dan membeli semua insurans yang diperlukan sebelum projek itu bermula.
Kontrak ini menandakan pengumuman kerja kedua kumpulan itu untuk tahun ini selepas JTHSB memperoleh kontrak RM25.5 juta daripada TNB pada Januari 2025 untuk memasang kabel litar dua bawah tanah pusat data di Cyberjaya, Selangor. - DagangNews.com








