Jasa Kita teroka sektor utiliti beli firma kejuruteraan elektrik KT System bernilai RM10 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jasa Kita teroka sektor utiliti beli firma kejuruteraan elektrik KT System bernilai RM10 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 AprilJasa Kita Berhad mengumumkan langkah strategik mengambil alih sepenuhnya firma kejuruteraan elektrik, KT System Sdn Bhd pada pertimbangan tunai yang berjumlah RM10 juta.


Langkah ini menandakan fasa baharu bagi kumpulan tersebut mempelbagaikan aktiviti perniagaannya ke dalam sektor pembinaan utiliti infrastruktur tenaga dan perkhidmatan yang berkaitan bekalan elektrik.


Perjanjian penjualan saham (SSA) bersyarat dimeterai dengan Norza Holdings Sdn Bhd dan Ir Nazarudin Salleh bagi kesemua 1.3 juta saham biasa mewakili 100% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu.


"KT System memiliki rekod prestasi kukuh, termasuk memegang lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk kerja pengujian dan pentauliahan sistem elektrik," maklum Jasa Kita kepada Bursa Malaysia. 


Selain itu, ia merupakan kontraktor berdaftar Gred 7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pembekal perkhidmatan rasmi bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PETRONAS.


Pengambilalihan ini dilihat tepat pada masanya memandangkan kumpulan itu berhasrat mengurangkan pergantungan kepada aktiviti teras sedia ada iaitu perdagangan dan pengedaran alatan industri.


Cadangan terbaharu ini jelas kenyataan tersebut, memberi peluang kepada Jasa Kita untuk menceburi sektor utiliti, sekali gus mengukuhkan asas pendapatan dan meningkatkan keuntungan keseluruhan.


"Kami juga berhasrat memanfaatkan kepakaran KT System membida sektor bernilai tinggi seperti projek tenaga hijau, transformasi grid, serta logistik rantaian bekalan minyak dan gas (O&G)," jelasnya.


Berdasarkan prestasi kewangan, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.03 juta bagi tempoh kewangan 15 bulan berakhir 31 Mac 2026, dengan aset bersih berjumlah RM7.88 juta.


Pertimbangan pembelian itu akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman bank, dengan proses pengambilalihan ini dijangka selesai menjelang suku kedua tahun ini sekiranya tiada masalah besar.


Di samping itu, Jasa Kita mencadangkan kepelbagaian perniagaan dengan kelulusan daripada pemegang saham syarikat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan kelak. - DagangNews.com