KUALA LUMPUR 8 Julai — Jangkaan peningkatan tarif air memberi peluang kepada operator pembekal air menambah baik kualiti perkhidmatan jika diluluskan pada separuh kedua 2025, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu meramalkan, langkah tersebut membantu kemampanan kewangan syarikat pengendali air sendiri, dengan hasil tambahan untuk menaik taraf dan memperbaharui sistem prasarana.
Ini katanya, termasuk fasiliti loji rawatan air dan penggantian paip lama di samping yakin perubahan struktur permintaan air daripada koridor pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Struktur yang disemak itu bakal menyokong peningkatan percambahan kampus pusat data (DC) dan kemudahan industri lain yang akan datang di Johor," kata CIMB Securities dalam satu nota kajiannya.
Di peringkat hiliran, ia membayangkan peluang limpahan untuk kontraktor dan pengeluar paip jika Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa industri DC beralih ke sumber air alternatif.
Langkah berkenaan tambah firma itu, sekiranya diterima pakai meliputi efluen terawat daripada loji kumbahan yang melibatkan pemetaan loji rawatan sisa serta boleh dihubungkan dengan DC baharu.
Kata CIMB Securities, projek pembangunan sumber air lain yang telah dicadangkan bakal meningkatkan lagi bekalan air mentah secara mampan termasuk dengan pembinaan kemudahan penyimpanan luar sungai.
Pengendali DC katanya, boleh menggunakan air kitar semula atau hujan bagi menjana sistem penyejukan dan pihaknya optimis mengenai potensi pelaksanaan skim pembiayaan yang melibatkan sektor swasta.
"Kami percaya pendekatan ini boleh mengurangkan beban kewangan kerajaan kerana memudahkan pelaburan besar diperlukan di bawah Pelan Transformasi Sektor Air Negara 2040," tambahnya.
Melalui proses pembidaan secara kompetitif, syarikat-syarikat swasta boleh memainkan peranan aktif bersama-sama pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu infrastruktur utama yang melanda sektor air.
Keadaan berkenaan kata CIMB Securities, termasuk masalah kehilangan air tanpa hasil disebabkan kebocoran paip yang usang dan sudah lama perlu diganti dengan jenis baharu lebih tahan lasak.
Secara keseluruhannya, firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan Gamuda Berhad sebagai saham pilihan di bawah liputannya di Bursa Malaysia untuk pembinaan infrastruktur berkaitan air.
Firma itu menjangkakan projek pemindahan air Pulau Pinang-Perak yang bermula pada 2026, menyediakan prospek tender bernilai RM4 bilion serta peluang lain seperti inisiatif tenaga boleh diperbaharui.
"Setelah meraih kontrak utama untuk Fasa 1 Skim Bekalan Air Rasau, Gamuda juga sedang berusaha untuk jenis kerja serupa bernilai kira-kira RM300 juta di Selangor," katanya. - DagangNews.com








