Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar mengingatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) agar mengambil iktibar daripada sejarah pembelian pesawat terpakai bukan teguran biasa.
Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), teguran ini dilihat sebagai peringatan penting terhadap dasar dan keputusan strategik kerajaan dalam perolehan aset ketenteraan.
Pengalaman negara membeli pesawat terpakai, A4-Skyhawk PTM sebelum ini wajar menjadi iktibar kerana pesawat berkenaan akhirnya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Bagi pemerhati ketenteraan tempatan, pembelian pesawat A4-Skyhawk pada 1981 penuh dengan sejarah duka apabila kerap terbabit dalam nahas udara yang mengorbankan juruterbang.

Kerajaan pada dekad itu melaksanakan Program Istimewa Angkatan Tentera (PERISTA) bagi memperkasakan ATM sebagai angkatan konvensional.
Sebanyak 88 buah pesawat Skyhawk era Perang Vietnam dibeli dengan sebahagian dijadikan alat ganti manakala 40 buah diterbang ke tanahair.
Aspek kuantiti menjadi penekanan pada masa itu berbanding kualiti pesawat.
Malangnya, dalam tempoh 8 tahun sebanyak 10 nahas membabitkan pesawat A-4 Skyhawk.
Akhirnya pesawat ditamatkan perkhidmatan apabila TUDM membeli pesawat baharu Hawk pada 1994.


Mengoperasikan pesawat terpakai dengan teknologi ketinggalan juga umpama meletak risiko kepada juruterbang yang diumpamakan seperti keranda terbang.
Titah Yang di-Pertuan Agong menggambarkan keprihatinan terhadap daya tempur ATM dan keselamatan anggota yang bertugas.
Pengajaran dari pengalaman Skyhawk menegaskan pentingnya membuat keputusan berdasarkan pertimbangan strategik jangka panjang, bukan semata-mata dari sudut kos jangka pendek.
Walaupun aset terpakai boleh menjadi pilihan sementara atau penyelesaian peralihan, keputusan pembelian mesti disertakan penilaian teknikal menyeluruh, jaminan keselamatan dan prestasi.
Justeru, apabila melihat kepada keputusan Mindef untuk mendapatkan pesawat tempur F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait, kebimbangan terhadap keupayaan pesawat secara keseluruhan boleh dipersoal.


Mindef kini dalam proses untuk mendapatkan 18 buah pesawat F/A-18C/D Hornet milik Kuwait yang telah berkhidmat hampir 30 tahun.
Tujuan pembelian ini adalah sebagai langkah sementara sebelum kerajaan memutuskan perolehan pesawat tempur baharu dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.
Hornet terpakai Kuwait ini dicadang menggantikan pesawat Hawk yang akan ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2027.
Walaupun pesawat ini dilaporkan dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut piawaian tinggi, usia dan kos penyelenggaraan serta ketersediaan alat ganti merupakan faktor kebimbangan.
Tambahan pula, kemampuan teknikal pesawat ini mungkin tidak sepadan dengan ancaman moden dan kemajuan teknologi semasa.


Pesawat Hornet Kuwait pula sebenarnya memiliki teknologi jauh ketinggalan berbanding Hornet milik TUDM kerana ia telah dinaik taraf dengan sistem avionik dan persenjataan yang lebih baik.
Aset yang lebih tua mungkin tidak dapat menjalankan operasi taktikal kompleks seperti peninjauan jauh, serangan tepat atau integrasi dengan sistem peperangan bersama.
Di atas kertas mendapatkan Hornet terpakai dilihat menguntungkan tetapi ia masih memakan belanja yang besar kerana pesawat-pesawat lama tersebut masih perlu diselenggara.
Walaupun tidak dinyatakan berapa kos yang akan ditanggung kerajaan, namun dianggarkan sebuah Hornet terpakai Kuwait ini memakan jutaan ringgit untuk diselenggara.
Sebenarnya, adalah lebih baik sekiranya Mindef terus melakukan perolehan pesawat tempur baharu, walaupun pesawat generasi 4.5 kerana ia mempunyai teknologi mutakhir berbanding pesawat terpakai berusia 30 tahun.


Begitu juga dengan cadangan menyewa helikopter terpakai Sikorsky UH-60 Black Hawk oleh Tentera Darat Malaysia.
Walaupun pendekatan sewaan mungkin lebih fleksibel dari segi kos jangka pendek, namun isu keselamatan dan kecekapan operasi tetap menjadi kebimbangan sekiranya pesawat tidak berada dalam keadaan optimum.
Helikopter terpakai mempunyai teknologi yang ketinggalan, tidak selari dengan perkembangan peperangan moden seperti peperangan berasaskan sistem digital, AI, dan halimunan (stealth).
Ia juga boleh memberi kesan daripada aspek imej dan moral ATM.
Anggota tentera mungkin hilang keyakinan terhadap aset yang digunakan, memberi kesan kepada moral dan motivasi.

Teguran Yang di-Pertuan Agong merupakan peringatan tegas agar Mindef tidak mengulangi kesilapan sejarah yang boleh menggugat keselamatan negara dan nyawa anggota tentera.
Keputusan berkaitan pembelian aset ketenteraan, terutamanya yang melibatkan aset terpakai perlu dinilai pada sudut strategik, keselamatan dan keupayaan tempur jangka panjang.
Teguran ini juga selari dengan prinsip tadbir urus baik, akauntabiliti dan ketelusan dalam urusan pertahanan negara. - DagangNews.com







