Jangan ada campur tangan berat sebelah isu Jalur Gemilang, kata Persatuan Penulis Nasional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangan ada campur tangan berat sebelah isu Jalur Gemilang, kata Persatuan Penulis Nasional

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 April — Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) mahu sebarang tindakan dalam isu imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit oleh sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini diuruskan tanpa campur tangan yang berat sebelah.


Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, Pena menyokong tindakan kerajaan tetapi pada masa sama mahu pihak berkuasa perlu berhemah menangani segera kes sensitif itu secara profesional dan berdasarkan kepada aspek perundangan negara. 


Segala langkah yang dilaksanakan kata beliau, wajar dilakukan secara terperinci dan adil dengan semua pihak juga perlu mengelakkan kenyataan sentimen peribadi yang berbaur rasis terhadap pihak pengurusan akhbar berkenaan.


"Setiap tindakan susulan yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa perlu berlandaskan akta berkaitan dan prinsip undang-undang negara tanpa ada campur tangan politik yang bersifat berat sebelah," katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh bersetuju bahawa sebarang perlakuan yang memperlekehkan imej Jalur Gemilang sebagai bendera negara ini boleh dianggap sebagai mencabar sentimen dan cuba mengapi-apikan perasaan rakyat.


Justeru beliau menyokong kesalahan tersebut yang jelas berkaitan bahan bercetak disiasat di bawah Akta 414 iaitu Akta Lambang (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta 301.

 

pena
MOHAMAD SALEEH RAHAMAD


Jalur Gemilang tegasnya, melambangkan identiti rakyat Malaysia dengan setiap imej, jalur dan warna yang dipaparkan membawa perlambangan tertentu manakala perbuatan jelik terhadap simbol rasmi itu seolah-olah menghina warga Malaysia. 

"Apabila berlaku satu tindakan berbentuk pengkhianatan dan dipaparkan dalam media utama, ia merupakan suatu cabaran kepada majoriti rakyat yang berpegang kepada prinsip hidup muhibah dan harmoni," kata Mohamad Saleeh lagi.

Sususlan isu bendera, Pena katanya menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan menguatkuasakan peraturan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar sekolah di bawah pentadbirannya bermula 21 April 2025.


Ini kata beliau, mungkin kaedah jangka pendek terbaik bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara oleh masyarakat tetapi usaha berterusan perlu dilakukan bagi menyedarkan pentingnya mendukung perlembagaan negara.


Tambahan pula kata Mohamad Saleeh, Rukun Negara juga sudah semakin dilupakan dan hanya dilafazkan pada majlis rasmi, selain prinsipnya pun mesti diamalkan agar kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dihormati.


"Malahan kini sesetengah pihak telah semakin bertindak berani menghina Raja-Raja Melayu secara terbuka yang jelas melanggar prinsip Rukun Negara," kata beliau. - DagangNews.com