Jaminan pembiayaan perniagaan RM5 bilion ditambah baik bantu PMKS harungi krisis tenaga global - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jaminan pembiayaan perniagaan RM5 bilion ditambah baik bantu PMKS harungi krisis tenaga global - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan menyediakan peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebagai antara langkah segera bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga global yang menekan kos operasi dan mengganggu rantaian bekalan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan diberikan kepada sektor pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.


"Jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80% (biasa 70%) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa 7 tahun).

 

"SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

 

"Setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama Kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan sesi libat urus bersama PMKS bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan, serta merangka langkah segera bagi membantu perniagaan yang terkesan susulan krisis tenaga global yang menekan kos operasi dan mengganggu rantaian bekalan.

 

Perdana Menteri berkata, bantuan segera lain ialah kelonggaran e-invois dengan melanjutkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027. 

 

"Ini untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh tersebut," katanya.

 

Beliau menambah, pengecualian Duti Import untuk Pengimportan Semula juga disediakan dengan pertimbangan secara interim ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.

 

"Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat," katanya.

 

Perdana Menteri menjelaskan dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

 

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat. Ini bukan situasi sementara; kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” tambah beliau.

 

Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada mereka yang paling memerlukan. - DagangNews.com