James Chai sambung keterangan hari kedua siasatan SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

James Chai sambung keterangan hari kedua siasatan SPRM

KUALA LUMPUR 29 April - Bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai, hadir semula ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini bagi menyambung keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

 

Pada hari kedua siasatan, James Chai tiba pada jam 9.45 pagi bagi membantu siasatan melibatkan Arm Holdings Plc, sebuah syarikat semikonduktor terkemuka yang berpangkalan di United Kingdom.

 

Beliau sebelum ini turut hadir ke ibu pejabat SPRM pada Selasa (28 April) sekitar jam 10 pagi, di mana beliau menghabiskan lebih lapan jam untuk memberi keterangan.

 

Pada 1 April, SPRM telah memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan serta menyatakan kesediaan untuk menanggung kos penerbangan beliau pulang ke Malaysia.

 

Agensi antirasuah itu membuka kertas siasatan pada 16 Februari berhubung satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing yang dilaporkan bernilai RM1.1 bilion.

 

Sumber berkata, siasatan dimulakan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan terlalu memihak, sekali gus berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

 

Siasatan itu turut meneliti kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan, berikutan dakwaan bahawa beberapa individu dilantik ke jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas meninggalkan jawatan mereka di sebuah kementerian kerajaan. - BERNAMA