KUALA LUMPUR 24 Feb – JAKS Resources Berhad mencatatkan kerugian bersih RM33.3 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan bersih RM11.26 juta pada 4QFY24.
Menurut kumpulan itu, prestasi negatif ini disebabkan terutamanya oleh peruntukan susut nilai ke atas penghutang yang berjumlah RM30.7 juta serta diiktiraf dalam tempoh kewangan suku tersebut.
Bagaimanapun pendapatan kumpulan berkenaan bagi suku dikaji sebenarnya melonjak sebanyak 177% kepada kira-kira RM26.2 juta berbanding hanya RM9.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Peningkatan hasil ini didorong oleh faktor sumbangan yang lebih baik daripada bahagian pegangan pelaburan serta bahagian pembinaan," kata JAKS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh terkumpul 12 bulan (FY25), kumpulan itu kekal mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.9 juta, namun menunjukkan penurunan ketara berbanding keuntungan bersih RM40.5 juta pada FY24.
Keuntungan tahun sebelumnya adalah lebih tinggi kerana ia sudah merangkumi keuntungan bersih sekali sahaja yang mencecah sebanyak RM54.6 juta berikutan daripada pelupusan hartanah tertentu.
Segmen pembinaan pada 4QFY25 mencatatkan kerugian sebelum cukai RM47.4 juta, tetapi lebih rendah berbanding kerugian RM56.5 juta pada 4QFY24 disebabkan kurang kos projek dan perbelanjaan operasi.
"Sementara itu, segmen pelaburan hartanah melaporkan kerugian sebelum cukai melebar kepada RM8.4 juta berbanding hanya RM3.2 juta pada tahun sebelumnya," jelas JAKS menerusi kenyataan tersebut.
Kumpulan berkenaan menambah, segmen tenaga pula berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.8 juta, dengan dibantu oleh faktor pendapatan daripada tuntutan sekali sahaja.
Di samping itu jelasnya, kumpulan tersebut turut memperoleh sumbangan kira-kira RM24.4 juta daripada bahagian keuntungan dalam syarikat usaha sama bagi tempoh suku berkenaan.
Mengenai prospek masa depan, JAKS kini memberi tumpuan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui dua loji solar berskala besar (LSS) yang berkapasiti 99.9MW di Setiu, Terengganu.
"Projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan keuntungan masa depan, sekali gus mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan yang berdepan persekitaran mencabar," tambahnya.
Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, pengurusan JAKS komited meningkatkan disiplin kewangan, kecekapan operasi, serta memanfaatkan pertumbuhan dalam sektor tenaga hijau. - DagangNews.com








