KUALA LUMPUR 8 April - Jabatan Imigresen kini memberi fokus tindakan kepada majikan yang masih ingkar dengan menggaji warga asing tanpa dokumen sah sebagai pekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, alasan kekurangan pekerja tempatan tidak boleh diterima kerana undang-undang tidak memberikan sebarang pengecualian.
“Jika majikan tidak dikenakan tindakan, warga asing akan merasakan mudah untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.
“Majikan perlu bertanggungjawab kerana merekalah yang menggaji warga asing ini. Apabila tindakan diambil, mereka tidak boleh menyalahkan ejen atau mana-mana pihak lain,” katanya hari ini.
Zakaria berkata, majikan perlu memandang serius perkara ini kerana fokus jabatan kini adalah kepada majikan dan ia boleh dilihat daripada statistik semasa.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 3,250 operasi telah dijalankan dengan 50,951 individu diperiksa, 11,077 pendatang tanpa izin ditahan dan 506 majikan ditangkap.
Sebanyak RM42.6 juta kompaun telah dikeluarkan kepada 2,286 majikan dari 2025 hingga Februari tahun ini, manakala tahun lalu seramai 1,939 majikan dikenakan kompaun berjumlah RM36.6 juta.
“Sehingga Februari tahun ini, jabatan telah mengambil tindakan terhadap 347 majikan dengan jumlah kompaun sebanyak RM6 juta.
“Secara keseluruhan, 2,286 majikan telah dikenakan kompaun berjumlah RM42,623,500 sehingga Februari tahun ini,” katanya.
Zakaria berkata, selain kompaun, tindakan mahkamah turut diambil terhadap 454 majikan yang dikenakan denda sebanyak RM10,929,400 tahun lalu.
“Tahun ini, denda yang dikenakan mahkamah telah mencecah RM1,279,000. Ini menunjukkan kita mengambil tindakan serius terhadap majikan yang ingkar,” katanya. - DagangNews.com








