KUALA LUMPUR 22 Ogos – ITMAX System Berhad memperoleh kontrak bernilai RM14.45 juta daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi penyediaan perkhidmatan naik taraf di rangkaian rel agensi itu.
Kumpulan penyedia perkhidmatan digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu terlibat dalam penyelenggaraan infrastruktur kamera litar tertutup (CCTV) menggunakan teknologi terkini .
Katanya, syarikat telah menerima dan bersetuju dengan Surat Tawaran (LOA) bertarikh 18 Ogos 2025 daripada RAC yang merupakan sebuah badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan.
"Ia dijadual bermula 1 September 2025 dan berlangsung 68 bulan, merangkumi fasa pemasangan selama lapan bulan, diikuti fasa penyewaan 60 bulan," kata ITMAX dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Antara terma utama LOA itu tambahnya, termasuk kadar denda ganti rugi dikenakan jika ada kelewatan penyerahan kerja, sama ada mengikut formula atau RM3,028.50 sehari, mengikut mana lebih tinggi.
ITMAX kata kumpulan berkenaan dan RAC akan menandatangani perjanjian rasmi dalam masa terdekat bagi memeterai komitmen projek ini yang dijangka menyumbang secara positif kepada syarikat tersebut.
Ini termasuk keuntungan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangannya dalam segmen penyelesaian bandar pintar dan keselamatan awam.
"Lembaga Pengarah ITMAX turut menyatakan tiada risiko besar dikenal pasti selain risiko operasi biasa, dan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan tidak diperlukan," kata kumpulan berkenaan.
Selain itu, tiada sebarang kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung, oleh mana-mana pengarah, pemegang saham utama, atau pihak berkaitan dalam urus niaga ini. - DagangNews.com








