Isu projek Metro Baghdad selesai, hasil HSS Engineers diramal pulih pada 2H25 - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu projek Metro Baghdad selesai, hasil HSS Engineers diramal pulih pada 2H25 - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Pendapatan HSS Engineers Berhad diramal kembali pulih pada separuh kedua 2025 setelah isu projek Metro Baghdad berjaya diselesaikan, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, masalah terbesar tender di ibu kota Iraq berkenaan yang melibatkan Sijil Siap Kerja telah diatasi apabila dokumen rasmi itu dikeluarkan oleh Datuk Bandar Baghdad.

 

Dalam satu pertemuan firma itu bersama kumpulan tersebut pada 8 Ogos 2025, pihak pengurusannya mengesahkan kelulusan pensijilan berkenaan membolehkan urusan pembayaran projek ini dilaksanakan.

 

"HSS Engineers menerusi taklimat itu mengakui transaksi pembayaran penting pertama sebanyak 10 peratus atau RM10 juta telah disalurkan pada 16 Julai 2025," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.

 

Tambahnya, selepas kelulusan Kementerian Perancangan Baghdad, ia percaya langkah seterusnya akan lebih bersifat komersial, manakala garis masa aliran tunai yang akan dibayar dilakukan kemudian.

 

Kelazimannya kata firma itu, urusan berkenaan mengambil masa 21 sehingga 41 hari kerana sebahagian besar bergantung kepada pihak Trade Bank of Iraq memperoleh bekalan dolar Amerika Syarikat (AS).

 

CGSI bagaimanapun melihat projek rel tersebut secara positif kerana ia telah menjadi kunci tidak terjual untuk harga saham HSS Engineers, yang membawa penurunan 47 peratus dalam tempoh 12 bulan.

 

"Kami menjangkakan pendapatan lebih baik pada 2H25 dan yang lebih penting, aliran tunai operasi akan kembali aktif pada 4Q25 selepas menunjukkan negatif RM12.6 juta pada tempoh 1Q25," katanya.

 

Di samping itu tambahnya, dengan semua keperluan telah dipenuhi untuk menerima bayaran pertama tersebut, ia menjangkakan pembayaran penting yang berikutnya pula akan menjadi lebih cepat.

 

Usaha berkenaan kata CGSI, termasuk bon prestasi, pembukaan pejabat cawangan dan pendaftaran syarikat tempatan di Iraq, manakala kerja-kerja perundingan pengurusan projek bergerak lancar.

 

Ia menambah, setakat 25 Jun 2025, kerja berkenaan mencapai 45 peratus dan dijangka siap menjelang akhir 2025 berikutan kerja perkhidmatan penyeliaan pembinaan boleh dimulakan dalam 2H26.

 

"Projek tren Iraq ini merangkumi 30 peratus daripada jumlah buku tempahan HSS Engineers sebanyak RM2.07 bilion pada 25 Mac dan menjana margin keuntungan kasar mencecah 45 peratus," katanya.

 

Angka berkenaan tambah CGSI, dianggap sebagai tinggi berbanding kurang 30 peratus untuk projek-projeknya yang lain dan kumpulan itu sedang meneroka projek rel Najat-Karbala selepas ini pula.

 

Berdasarkan perkembangan positif itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'tambah' ke atas potensi kumpulan ini dengan harga sasaran sebanyak RM1.38 sesaham. - DagangNews.com