Isu ketegangan global terus jejaskan sektor pengangkutan, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu ketegangan global terus jejaskan sektor pengangkutan, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Okt – Ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat, Eropah Timur dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China terus menekan sektor pengangkutan.


Menurut RHB Research, laluan perkapalan utama masih terganggu akibat risiko keselamatan, sekali gus memanjangkan tempoh penghantaran dan meningkatkan kos operasi syarikat logistik tempatan.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi semasa memaksa syarikat mengelak Laut Merah dan memilih laluan mengelilingi Tanjung Harapan, yang menyumbang kepada kadar caj lebih tinggi.


"Keadaan itu turut mengakibatkan gangguan kepada rantaian bekalan global apabila berlaku kelewatan penghantaran daripada perancangan jadual asal,” kata firma berkenaan, dalam notanya hari ini.


Berdasarkan suasana ketidaktentuan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pengangkutan, namun memilih Tasco Bhd sebagai syarikat pilihan atas faktor kestabilan pendapatan.


Syarikat berkenaan juga ada kelebihan dalam menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu, walaupun keputusan kewangan terbaharu tidak mencapai jangkaan disebabkan kos tambahan di ibu pejabat am.


Justeru firma itu tetap optimis terhadap prospek jangka sederhana syarikat tersebut, namun memberi amaran mengenai kadar caj tinggi berikutan gangguan laluan global dijangka mempengaruhi prestasi.


"Ini termasuk semua syarikat logistik dengan rangkaian pelanggan dan pasaran pelbagai. Kami jangka pertumbuhan eksport Malaysia perlahan kepada 3.1% pada separuh kedua 2025," kata RHB Research.


Situasi tersebut adalah merosot sedikit berbanding 3.8% yang dicatatkan pada 1H25, kerana dipacu oleh faktor pengurangan aktiviti penghantaran awal dan kesan berterusan daripada tarif balas AS.


Bagaimanapun katanya, beberapa isu sokongan masih lagi wujud seperti kepelbagaian pasaran eksport, jangkaan penurunan ketegangan AS-China serta struktur tarif yang seragam oleh AS ke atas ASEAN.


Perkembangan itu jelas RHB Research, mampu mengekalkan lagi daya saing Malaysia, manakala Indeks Pengangkutan Bursa Malaysia kini diniagakan pada 15.3 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E).


"Paras ini lebih rendah berbanding purata sejarah 10 tahun iaitu 17.6 kali, mencerminkan sentimen berwaspada pelabur terhadap keupayaan sektor ini mencatat pemulihan dalam masa terdekat," ujanya.


Selain itu firma tersebut turut menggariskan risiko penurunan termasuk kelembapan ekonomi global dan kejatuhan mendadak kadar caj yang berkemungkinan memberi kesan jangka pendek. - DagangNews.com