KUALA LUMPUR 25 Sept – PPB Group Berhad diyakini tidak terjejas disebabkan kes mahkamah di Indonesia yang melibatkan syarikat sekutunya, Wilmar International Ltd, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, meskipun berdepan dengan potensi hukuman denda AS$729 juta (RM3.1 bilion) kedudukan tunai kukuh kumpulan itu mampu lagi menyerap sebarang kesan kewangan.
Tambahnya, situasi berkenaan dijangka tidak menjejaskan prestasi semasa syarikat atau memberi kesan ke atas pembayaran dividen kepada pemegang saham kerana ia cuma memiliki 18% ekuiti dalam Wilmar.
"Kami berpandangan kebimbangan terhadap denda ini sudah diambil kira dalam penilaian semasa dengan PPB kekal berdaya tahan dengan portfolio perniagaan pelbagai dan kukuh," kata UOBKH dalam notanya.
Ia menjelaskan kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim 12 sen sesaham bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, sama seperti 2024, membuktikan keyakinan terhadap kestabilan aliran tunai.
PPB katanya, dijangka terus mencatat pertumbuhan dalam 2H25, dengan segmen agribisnes melalui FFM Berhad dan hiburan menerusi rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) menjadi pemacu utama.
Operasi pengilangan tepung juga tambah UOBKH, terus meraih banyak manfaat daripada kelebihan bekalan gandum global, yang menyebabkan kos bahan mentah lebih rendah manakala margin pula meningkat.
"Dalam masa sama, GSC menunjukkan prestasi cemerlang berikutan peningkatan penonton pawagam dan pendapatan konsesi, dijangka berterusan dengan tayangan filem tempatan dan antarabangsa," katanya.
Justeru PPB menjangkakan impak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhad sekitar RM30 juta setahun, yang majoritinya melibatkan kos penyewaan pawagam dan sebahagian kecil kos bahan mentah.
UOBKH menambah, bahan utama seperti jagung dan gandum kekal dikecualikan daripada pelaksanaan perluasan SST, sekali gus menyokong kelangsungan margin perniagaan makanan kumpulan berkenaan.
Ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham PPB, dengan harga sasaran disemak kepada RM14.10 sesaham daripada RM15.80, mengambil kira andaian ringgit lebih kukuh dan jangkaan hasil 2026.
"Walaupun saham menunjukkan sedikit lantunan, ia sebenarnya masih diniagakan pada penilaian menarik, lebih rendah berbanding rakan setara," ujar firma tersebut. - DagangNews.com








