Isu geopolitik mula jadi penentu utama pertumbuhan SD Guthrie dalam industri sawit, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu geopolitik mula jadi penentu utama pertumbuhan SD Guthrie dalam industri sawit, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 April – Faktor geopolitik kini dilihat mengatasi semua pemacu utama lain bagi menentukan hala tuju jelas SD Guthrie Berhad dalam industri sawit, menurut analisis RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, isu luaran yang berlaku pada ketika ini terutama konflik di beberapa negara, boleh menjadi sama ada risiko atau pemangkin positif kepada prestasi pertumbuhan kumpulan. 


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM7.25 berbanding RM6.70 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 20% serta jangkaan hasil dividen 3% bagi FY26.


"Jika gencatan senjata di Timur Tengah berterusan, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka stabil dalam RM4,200 satu tan, disokong pelaksanaan mandat biodiesel lebih tinggi di Indonesia," kata RHB Research.


Ujarnya, dengan nisbah stok kepada penggunaan dijangka berada di bawah paras purata sejarah, harga berpotensi kekal berdaya tahan, didorong isu bekalan minyak sayuran global yang semakin kurang.


Selain itu, ia meningkatkan andaian harga MSM kepada RM4,400 bagi 2026 dan RM4,300 bagi 2027, serta menyemak naik unjuran pendapatan SD Guthrie antara 7.9% hingga 11.4% bagi FY26 hingga FY28.


Dalam perkembangan berkaitan, jurang harga minyak sawit dan gasoil (POGO) kembali positif, menunjukkan Indonesia masih dapat meneruskan subsidi biodiesel di bawah kadar cukai eksport semasa.
 

SD Guthrie_DagangNews


"Bagaimanapun, sekiranya jurang tersebut adalah negatif, permintaan biodiesel tambahan sebanyak 3 juta tan setahun berpotensi kembali, sekali gus menyokong harga MSM," kata firma penyelidikan itu.


RHB Research turut meramalkan kebarangkalian gencatan senjata kekal sepanjang tahun tanpa konflik baharu, yang dijangka membawa harga minyak mentah ke paras sederhana AS$80 (RM317.69) setong.


Di samping itu, fenomena cuaca menjadi perhatian apabila kejadian El Niño mungkin meningkat kepada 93% dari tempoh September hingga November 2026, yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit.


Dalam jangka panjang, pelaksanaan mandat biodiesel di Indonesia dijangka mengetatkan bekalan minyak sayuran global, sekali gus menyokong harga MSM dan memberi kelebihan kepada SD Guthrie.


"Kami namun memberi amaran risiko seperti kemerosotan permintaan global, peningkatan kos dan pengeluaran kacang soya serta perkembangan dasar tarif Amerika Syarikat (AS)," kata RHB Research.


Secara keseluruhan, ia melihat strategi kepelbagaian perniagaan SD Guthrie sebagai faktor positif tambahan, dengan penilaian TP turut mengambil kira premium ESG sebanyak 4%. - DagangNews.com