KUALA LUMPUR 12 Sept – Pasaran hartanah Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam usaha membentuk ekosistem sewaan benar-benar inklusif, apabila dapatan kajian menunjukkan diskriminasi masih menjadi realiti harian bagi ramai pencari rumah di negara ini.
Menurut laporan bersama PropertyGuru & iProperty Malaysia serta Architects of Diversity Malaysia (AOD), isu diskriminasi berdasarkan bangsa, agama dan latar belakang masih berleluasa, sekali gus menjejaskan akses kepada perumahan, terutama dalam kalangan golongan muda dan komuniti terpinggir.
Laporan tersebut memaparkan pengalaman nyata penyewa seperti Roshni, Ikmal, dan Abby yang berdepan penolakan terbuka semata-mata kerana latar belakang bangsa mereka.
Dalam kebanyakan kes, individu tersebut dikenakan syarat tidak munasabah atau terpaksa membayar sewa lebih tinggi berbanding penyewa lain hanya kerana identiti peribadi mereka.
Ramai penyewa mendapati pintu tertutup sebelum mereka sempat melangkah masuk. Ini bukan soal keupayaan membayar, tetapi tentang siapa mereka,” kata Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif AOD Malaysia, Jason Wee.
Menurut kajian AOD pula, seramai 6 daripada 10 penyewa di Malaysia pernah mengalami diskriminasi kaum ketika menyewa rumah, manakala 49.9% rakyat Malaysia percaya tuan rumah patut dibenarkan memilih penyewa berdasarkan bangsa.
Sebaliknya, hanya 31.6% menyokong pengharaman diskriminasi kaum dalam sewaan, dengan 63.8% masyarakat India Malaysia dan 39% golongan belia (18-24 tahun) menyokong pengharaman diskriminasi secara jelas.
Jason menjelaskan, data ini menunjukkan betapa berbezanya pengalaman dan pandangan antara komuniti, namun golongan muda dan terpinggirlah yang paling terkesan dengan dasar tidak rasmi ini.
Sikap diskriminasi ini bukan sahaja menghalang akses kepada tempat tinggal yang mampu milik, malah memburukkan lagi jurang sosial, menghakis kepercayaan kepada pasaran, dan mengekalkan kitaran kemiskinan dalam kalangan B40 – kelompok yang sebahagian besarnya menyewa di kawasan bandar.
“Apabila prasangka menggantikan fakta, pasaran hartanah hilang kredibiliti,” jelas Pengurus Negara – Malaysia, PropertyGuru & iProperty, Kenneth Soh.
Menurut beliau, kriteria sewaan sepatutnya berdasarkan asas objektif seperti keupayaan membayar sewa, kestabilan pekerjaan, dan rekod sewaan lampau – bukan berdasarkan latar belakang peribadi penyewa.
Sebagai langkah untuk menangani cabaran ini, PropertyGuru Malaysia memperkenalkan ciri 'Everyone Welcome' pada 2025 – satu tanda sukarela yang membolehkan tuan rumah dan ejen menyatakan secara terbuka bahawa hartanah mereka terbuka kepada semua kaum, agama dan jantina.
Sejak pelancaran awal pada April 2025, tanda ini digunakan oleh 10% senarai sewaan aktif, dan
2.5% penyewa secara aktif mencari senarai inklusif ini.
“Tanda ini bukan sekadar simbol – ia satu komitmen untuk membina pasaran yang lebih adil dan profesional. Ia menunjukkan bahawa inklusiviti bukan hanya etika, tetapi satu piawaian industri,” tambah Kenneth.
Laporan itu juga menegaskan bahawa pembentukan pasaran hartanah inklusif bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan tindakan serentak oleh ejen dan profesional hartanah, dengan mengguna pakai kod etika dan latihan penilaian penyewa secara adil.
Tuan rumah juga wajar mengiklankan hartanah secara terbuka dan inklusif, manakala platform digital menyediakan kandungan dan mekanisme aduan, sementera kerajaan melalui penggubalan dasar, peraturan yang boleh dikuatkuasakan, dan sistem rumusan pertikaian mesra rakyat.
“Setiap keputusan – dari cara iklan ditulis hingga kepada algoritma carian, memberi kesan kepada siapa yang dilayan, dan siapa yang diketepikan,” kata Kenneth.
Tambahnya, lebih daripada sekadar pelaburan atau keperluan fizikal, rumah sebenarnya adalah asas kepada kestabilan dan perpaduan sosial.
Peluang akses yang saksama kepada sektor perumahan mampu menyatukan masyarakat dan membina kepercayaan antara kaum.
“Dalam Malaysia yang berbilang bangsa, rumah bukan hanya tempat tinggal, ia titik mula membina negara, dan jika kita mahu perpaduan sebenar, ia perlu bermula dengan semua orang rasa dialu-alukan,” simpul Jason. - DagangNews.com








