KUALA LUMPUR 21 April — Masalah pelaksanaan teknologi 5G yang masih belum dimuktamadkan terus membayangi prospek sektor telekomunikasi tempatan, menurut RHB Research dalam analisisnya.
Perkembangan itu sekali gus mengekang sentimen pelabur walaupun penilaian saham dilihat menarik, dengan firma berkenaan memilih Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai tumpuan utama sektor tersebut.
Tambahnya, kumpulan telekomunikasi berkenaan masih disokong oleh pelbagai faktor kukuh di pasaran termasuk asas pendapatan domestik yang stabil serta potensi pulangan dividen terus kompetitif.
"Pertumbuhan industri dijangka kekal sederhana pada 2026 dengan kadar satu digit rendah, akibat dipengaruhi persaingan sengit dan tekanan berterusan terhadap pendapatan data," kata RHB Research.
Walaupun terdapat tanda awal pengukuhan harga melalui pelarasan semula dalam segmen jalur lebar gentian (FBB) dan mudah alih, tekanan persaingan masih ketara dan mengehadkan pertumbuhan hasil.
Segmen talian tetap ujarnya, dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor, khususnya melalui FBB dan perkhidmatan borong seperti ‘backhaul’ gentian serta jualan kapasiti kabel dasar laut.
Selain daripada TM sendiri, Time dotCom Berhad jelas RHB Research, turut dilihat sebagai memiliki potensi positif kepada peningkatan dividen berikutan kedudukan kunci kira-kiranya yang kukuh.
"Syarikat itu menyasarkan nisbah hutang bersih kepada perolehan kasar hingga 1.5 kali dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan menaikkan dasar pembayaran dividen kepada 50% hingga 75%," katanya.

TM pula ujar firma penyelidikan tersebut, mencatat nisbah pembayaran dividen (DPR) tinggi sebanyak 69% bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencetuskan jangkaan semakan dasar dividen sedia ada.
Kumpulan itu merancang untuk membiayai perbelanjaan modal (capex) jangka panjang melalui pinjaman tambahan bagi membolehkan aliran tunai dalaman diagihkan kepada semua pemegang sahamnya.
Bagaimanapun jelas RHB Research, masalah ketidaktentuan yang berkaitan kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) disebabkan pelbagai isu masih kekal menjadi faktor utama yang diperhatikan pasaran.
"Syarikat seperti Maxis Berhad dan CelcomDigi Berhad dijangka berdepan impak susulan penglibatan mereka dalam DNB, walaupun langkah penjimatan kos dijangka mengurangkan kesan tersebut," katanya.
Kedudukan TM dalam perjanjian borong 5G dengan DNB sehingga 2032 masih belum jelas, sama ada keluar lebih awal tetapi dikenakan penalti atau beralih kepada model rangkaian pelbagai operator (MOCN).
Peralihan kepada MOCN bersama U Mobile tambah RHB Research, dilihat lebih praktikal memandangkan skala pelanggan 5G TM yang lebih kecil, sekali gus berpotensi mengurangkan kos borong dan operasi.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi, dengan risiko utama merangkumi persaingan sengit, dan ketidaktentuan isu semasa. - DagangNews.com








