IPO GTA Holdings terlebih langgan 22.16 kali, terima permohonan RM523.35 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO GTA Holdings terlebih langgan 22.16 kali, terima permohonan RM523.35 juta

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Tawaran awam permulaan (IPO) GTA Holdings Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia menerima sambutan kukuh apabila bahagian yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia terlebih langgan sebanyak 22.16 kali.

 

Sebanyak 13,797 permohonan melibatkan 1.50 bilion saham bernilai RM523.35 juta diterima bagi merebut 64.57 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, menurut pengumuman Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd. yang disiarkan di Bursa Malaysia oleh GTA.

 

GTA menetapkan harga IPO pada 35 sen sesaham, melibatkan keseluruhan 329 juta saham IPO terdiri daripada terbitan awam 205 juta saham baharu dan tawaran jualan 124 juta saham sedia ada.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 8,450 permohonan untuk 972.95 juta saham diterima, menghasilkan kadar terlebih langgan sebanyak 29.14 kali.

 

Bahagian awam bukan Bumiputera pula menerima 5,347 permohonan bagi 522.34 juta saham, bersamaan kadar terlebih langgan 15.18 kali.

 

Penempatan persendirian turut habis dilanggan

Sementara itu, 12.91 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja GTA serta anak syarikatnya yang layak turut dilanggan sepenuhnya.

 

Ejen penempatan mengesahkan 127.52 juta saham terbitan yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih juga dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, kesemua 124 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih turut mendapat langganan penuh.

 

Berdasarkan harga IPO 35 sen sesaham, terbitan 205 juta saham baharu itu akan mengumpul hasil kasar sebanyak RM71.75 juta untuk GTA. Keseluruhan 329 juta saham IPO pula mempunyai nilai tawaran kira-kira RM115.15 juta, termasuk saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan.

 

Notis peruntukan kepada pemohon yang berjaya akan dihantar pada 7 September 2026.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com