IPO Empire Premium Food terlebih langgan 23.3 kali menjelang penyenaraian di Papan Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Empire Premium Food terlebih langgan 23.3 kali menjelang penyenaraian di Papan Utama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Empire Premium Food Bhd, pengendali rangkaian Empire Sushi, mencatat permintaan luar biasa untuk tawaran awam permulaannya (IPO), dengan bahagian untuk orang ramai terlebih langgan sebanyak 23.3 kali menjelang penyenaraian di Papan Utama pada 17 April ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata IPO mereka mencatatkan kadar langganan keseluruhan sebanyak 24.3 kali, dengan permintaan mencecah 1.336 bilion saham bagi 55 juta saham baharu yang disediakan untuk orang awam Malaysia.

 

Bahagian Bumiputera terlebih langgan sebanyak 13.34 kali, manakala bahagian bukan Bumiputera mencatatkan langganan sebanyak 33.25 kali.

 

Sementara itu, tawaran institusi sebanyak 293 juta saham atau 26.6% daripada jumlah saham diterbitkan yang diperbesar yang merangkumi saham baharu dan sedia ada, termasuk peruntukan untuk pelabur institusi terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga habis dilanggan sepenuhnya.

 

Tawaran runcit untuk individu yang layak juga habis dilanggan sepenuhnya, menurut Empire.

 

IPO ini melibatkan jumlah penerbitan sebanyak 218 juta saham baharu pada harga 70 sen sesaham, menjana dana berjumlah RM152.6 juta.

 

Sebahagian besar hasil IPO akan digunakan untuk membuka 77 cawangan baharu dalam tempoh empat tahun akan datang, pengubahsuaian cawangan sedia ada, serta menampung modal kerja syarikat.

 

Empire kini memiliki 143 cawangan, termasuk 127 kedai berkonsepkan grab and go dan 16 restoran.

 

Selain itu, penjualan 145 juta saham sedia ada akan menjana RM101.5 juta untuk pengasasnya, pasangan suami isteri Nicole Lim dan Jordan Tan.

 

Maybank Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, ejen penempatan tunggal, penyelaras buku tunggal dan penjamin tunggal bagi IPO ini. - DagangNews.com