IPO ASM Automation terlebih langganan 1.27 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO ASM Automation terlebih langganan 1.27 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Terbitan tawaran awam permulaan (IPO) ASM Automation Group Berhad menerima sambutan baik apabila 26.74 juta saham baharu ditawarkan terlebih langgan sebanyak 1.27 kali.


Kumpulan tersebut yang membekalkan sistem automasi kepada industri pembuatan makanan dan minuman, dijadualkan untuk mula dapat disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Julai 2025.


Syarikat itu menawarkan sejumlah 181.82 juta saham secara keseluruhan di bawah IPO berkenaan, termasuk kira-kira 128.34 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan pula sebanyak 53.48 juta saham.


"ASM Automation berjaya menerima sejumlah 2,427 permohonan untuk sebanyak 60.77 juta saham daripada rakyat Malaysia yang mengintai IPO diperuntukkan bahagian awam," katanya dalam satu kenyataan.


Berdasarkan pecahan IPO tersebut tambahnya, bagi bahagian Bumiputera, sejumlah 1,056 permohonan telah diterima untuk 22.37 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 0.67 kali .


Sementara bagi kategori awam lain pula katanya, sejumlah 1,371 permohonan diterima kumpulan itu untuk 38.40 juta saham IPO yang diperuntukkan, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 1.87 kali.


Kira-kira 10.70 juta lagi saham baharu yang disediakan ASM Automation untuk permohonan terbitan berkenaan oleh individu yang berkelayakan juga didapati telah selesai diambil secara sepenuhnya.


Penempatan persendirian sebanyak 66.85 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera dikenal pasti serta 24.06 juta saham baharu dan 53.48 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih juga dilanggan.


Kumpulan itu berusaha untuk mengumpul dana sehingga RM21.82 juta daripada terbitan 128.34 juta saham baharu pada 17 sen setiap satu, mewakili 24 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan.


IPO itu akan dimanfaat bagi memperoleh tanah untuk kilang baharu, membeli jentera dan mengembangkan modal kerjanya manakala notis kepada semua pemohon yang berjaya akan diposkan pada 1 Julai 2025.


Selepas penyenaraian, ASM diunjurkan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90.91 juta. M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.


ASM Automation menawarkan pemprosesan barisan hadapan dan sistem automasi pembungkusan termasuk pengubahsuaian dan naik taraf mesin, sokongan penyelenggaraan dan pembekalan komponen. - DagangNews.com