IOI sasar perniagaan perladangan imbangi kelemahan segmen pemprosesan pada FY27 — CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI sasar perniagaan perladangan imbangi kelemahan segmen pemprosesan pada FY27 — CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 SeptIOI Corporation Berhad dijangka menjadikan kekuatan perniagaan huluan sebagai pemacu utama mengimbangi tekanan dalam segmen hiliran, menurut CGS International (CGSI).

 

Langkah itu bagi berdepan persaingan sengit daripada pengeluar Indonesia serta kesan tarif Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyokong pertumbuhan hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2027 (FY27).

 

Firma itu menjangka keuntungan operasi segmen perladangan naik 23% tahun ke tahun (YoY) pada FY27, didorong pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi

 

"Kami menganggarkan pengeluaran FFB IOI meningkat 9%, disokong penggunaan bahan tanaman berhasil tinggi di bawah program penanaman semula dipercepatkan yang dilaksanakan sejak FY19," kata CGSI.

 

Menurutnya, manfaat usaha itu sudah mula ketara menerusi peningkatan hasil FFB dan kadar perahan minyak (OER) walaupun FY27 dijangka menjadi tahun terakhir program penanaman semula dipercepatkan.

 

Pada masa sama, ia menjangka harga MSM kekal tinggi sekitar RM4,500 satu tan hingga 2028, dan menyokong pertumbuhan kukuh keuntungan perniagaan huluan syarikat dalam tempoh FY27 hingga FY29.

 

IOI_DagangNews2026

 

Ujar CGSI, prestasi 4QFY26 IOI menunjukkan momentum positif apabila keuntungan bersih naik 24% YoY kepada RM407 juta, tidak termasuk kerugian nilai saksama RM60 juta daripada item luar biasa lain.

 

"Peningkatan itu disokong segmen perladangan berikutan harga jualan purata (ASP) dan pengeluaran lebih tinggi selain segmen pembuatan berasaskan sumber yang menikmati margin lebih baik," katanya.

 

Bagi FY26, keuntungan bersih teras meningkat 15% kepada RM1.47 bilion, mewakili 96% daripada unjuran setahun penuh dan secara keseluruhannya selari dengan jangkaan firma penyelidikan itu.

 

CGSI namun menjangka segmen hiliran IOI kekal berdepan tekanan apabila margin perniagaan penapisan dan oleokimia akan berpotensi sederhana akibat persaingan sengit Indonesia, selain kesan tarif AS.

 

Bagaimanapun ujarnya, pemulihan permintaan global bagi produk oleokimia sejak tempoh separuh kedua FY26 dijangka dapat mengurangkan sebahagian tekanan tersebut dan membantu kumpulan kekal stabil.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan ‘tambah’ dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.20, selepas menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 dan FY28 masing-masing 9% dan 12%. - DagangNews.com