IOI Properties tambah aset pejabat di Singapura, beli Asia Square Tower 2 bernilai S$2.48 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Properties tambah aset pejabat di Singapura, beli Asia Square Tower 2 bernilai S$2.48 bilion

Asia Square Tower 2
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – IOI Properties Group Bhd memperluaskan kehadirannya di Singapura menerusi cadangan pengambilalihan Asia Square Tower 2 bernilai S$2.476 bilion, sekali gus memperkukuh portfolio hartanah komersialnya di kawasan pusat perniagaan utama republik itu.

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, aset pejabat premium Gred A yang terletak di Marina Bay itu akan diperoleh daripada CapitaLand Integrated Commercial Trust (CICT) menerusi anak syarikat milik penuhnya, IOI Marina View Pte Ltd.

 

Menurutnya, nilai pembelian tersebut dirunding berasaskan persetujuan penjual dan pembeli  selepas mengambil kira penilaian bebas oleh Savills bertarikh 12 April 2026.

 

Harga yang dipersetujui itu juga mewakili diskaun sebanyak S$50 juta berbanding nilai pasaran yang dinilai, mencerminkan peluang pembelian strategik dalam persekitaran pasaran semasa.

 

Perjanjian opsyen jual dan beli bagi transaksi itu telah dimeterai antara HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Limited selaku pemegang amanah CICT dan IOI Marina View Pte Ltd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties, Datuk Lee Yeow Seng berkata Singapura kekal sebagai pasaran teras kumpulan berikutan kestabilan ekonomi dan kedudukannya sebagai hab kewangan utama Asia Tenggara.

 

Katanya, negara itu terus menarik syarikat multinasional dan institusi global yang menyokong permintaan berterusan terhadap ruang pejabat berkualiti tinggi.

 

“Pengambilalihan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap aset utama di Singapura yang mampu menjana aliran pendapatan berulang yang stabil disokong oleh asas pasaran yang kukuh,” katanya.

 

Asia Square Tower 2 merupakan pembangunan 46 tingkat yang menawarkan kira-kira 773,460 kaki persegi ruang boleh disewa bersih dengan pelan lantai luas dan spesifikasi bangunan bertaraf tinggi.

 

Aset itu juga mempunyai kadar penghunian purata 95.8% setakat 31 Mac 2026, menunjukkan permintaan kukuh daripada penyewa global di kawasan pusat perniagaan tersebut.

 

Selain itu, bangunan berkenaan dihubungkan secara langsung dengan IOI Central Boulevard Towers melalui jejantas pejalan kaki bertingkat yang meningkatkan integrasi dalam portfolio sedia ada kumpulan.

 

Pengambilalihan ini akan meningkatkan jumlah aset pelaburan IOI Properties di Singapura kepada kira-kira S$10 bilion dengan keluasan boleh disewa bersih keseluruhan mencecah 2.57 juta kaki persegi.

 

Menurut kumpulan itu, langkah tersebut dijangka mengukuhkan asas pendapatan berulang selain membolehkan syarikat memanfaatkan sinergi operasi serta peluang pertumbuhan dalam pasaran hartanah komersial Singapura. - DagangNews.com