KUALA LUMPUR 8 Mei – Strategi agresif IOI Properties Group Berhad merancakkan pembangunan mega baharu disifatkan mampu membuka nilai sebenar aset sedia ada yang terbiar, kata MBSB Research.
Langkah itu tambah firma penyelidikan berkenaan, sekali gus menarik perhatian pelabur institusi terhadap potensi pertumbuhan kumpulan hartanah tersebut yang dilihat sedang giat dilaksanakan.
Perkara itu mendorongnya menaik taraf saranan saham syarikat berkenaan kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) baharu RM4.64 sesaham berbanding hanya RM3.52 sebelum ini.
"Kami melihat peluang 'pembukaan nilai' termasuk usaha pembangunan projek bernilai tinggi dan penyenaraian IOI Properties REIT yang dijangka dimuktamadkan pada tahun ini," kata MBSB Research.
Menurutnya, kumpulan itu kini sedang menilai penjanaan nilai untuk kira-kira 1,295 hektar tanah yang belum mempunyai pelan pembangunan secara khusus terutamanya di Melaka, Johor dan Selangor.
Langkah menjana pulangan tanah ini membolehkan syarikat menukar aset kurang digunakan kepada tunai, sekali gus merealisasikan nilai hartanah yang dibeli pada kos rendah sejak dahulu lagi.
Tindakan ini juga ujar MBSB Research, membantu IOI Properties memperkukuh kedudukan kewangan syarikat berkenaan melalui kitar semula modal dan pengurangan kadar gearan atau hutang bersih.
"Gear bersih kumpulan ini dijangka meningkat daripada 0.9 kali pada suku kedua FY26 kepada 1.03 kali susulan pengambilalihan Asia Square Tower 2 di Singapura serta penyenaraian REIT," katanya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan tersebut turut optimis terhadap projek pembangunan IOI Rio City di Bandar Puteri Puchong, Selangor yang disifatkan sebagai 'permata baharu' kumpulan berkenaan.

Kata MBSB Research, projek pembangunan bersepadu seluas 40 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM12 bilion itu berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang IOI Properties.
Ia menggabungkan kompleks beli-belah generasi baharu, hotel lima bintang, menara pejabat Gred A, apartmen servis, pusat gaya hidup dan potensi pembangunan hospital dalam satu hab bersepadu.
“Pembangunan ini mampu membuka nilai tanah secara signifikan di Puchong menerusi konsep bandar berintegrasi yang menumpukan elemen gaya hidup, komersial dan pertumbuhan kediaman,” katanya.
Tambah MBSB Research, IOI Rio Mall mempunyai keluasan boleh disewa bersih (NLA) satu juta kaki persegi itu dijangka siap pada 2030 dan antara komponen utama projek IOI Properties berkenaan.
Pada masa sama ujar firma penyelidikan tersebut, penyenaraian IOI Properties REIT turut dilihat sebagai pemangkin besar kepada proses penzahiran nilai aset pelaburan bagi kumpulan hartanah itu.
Aset yang bakal disuntik ke dalam REIT berkenaan termasuk IOI City Mall, IOI City Towers 1 dan 2, Putrajaya Marriott Hotel, W Kuala Lumpur serta beberapa lagi dengan nilai gabungan RM7.58 bilion.
"Selepas usaha ini dimuktamadkan, pasaran berpotensi melihat banyak aset pelaburan IOI Properties dimasukkan ke dalam REIT termasuklah IOI Central Boulevard di Singapura," kata MBSB Research.
Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, akan terus memacu proses penjanaan nilai aset syarikat tersebut dan meningkatkan daya tarikan kumpulan itu kepada pelabur. - DagangNews.com








