KUALA LUMPUR 28 Ogos - IOI Properties Group Bhd (IOI Properties) kini berada pada peringkat rundingan lanjutan bagi penjualan beberapa bidang tanah industri berskala besar di Melaka, Banting dan Kulai, menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, jualan tanah perindustrian yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan syarikat telah menggariskan nilai tersembunyi bank tanah kumpulan serta menyediakan laluan yang jelas untuk merealisasikan nilai aset bersih terlaras (RNAV).
"IOI Properties melihat permintaan yang kukuh berasaskan sektor perindustrian terhadap bank tanahnya. Ia juga disokong momentum pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
HLIB turut menyatakan keyakinan terhadap prospek segmen pelaburan hartanah IOI Properties, khususnya IOI City Mall yang dijangka menerima manfaat daripada peningkatan kadar penghunian IOI City Towers.
Peningkatan jumlah pekerja pejabat di kawasan berkenaan dijangka menyokong jumlah kunjungan pada hari bekerja ke pusat beli-belah itu.
"Pada masa sama, kuasa perbelanjaan lebih tinggi di Putrajaya susulan kenaikan gaji penjawat awam dijangka memberi sokongan kepada jualan penyewa serta perbelanjaan runcit," katanya.
Jualan dan Pelancaran
HLIB berkata, bagi FY27, IOI Properties mempunyai saluran pelancaran indikatif sekitar RM3.2 bilion di Malaysia.
Kumpulan itu turut mencatatkan prestasi jualan hartanah yang kukuh bagi FY26 dengan jualan sebanyak RM3.91 bilion, meningkat 116.2% tahun ke tahun.
Pada 4QFY26 sahaja, jualan hartanah berjumlah RM1.20 bilion, meningkat 78.5% tahun ke tahun, manakala jualan belum dibil melonjak 19.5% suku ke suku kepada RM2.51 bilion.
"Paras jualan belum dibil itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan IOIPG sejak penyenaraiannya dan bersamaan 1.52 kali hasil pembangunan hartanah FY25," katanya.
Dalam perkembangan lain, IOI Properties mengisytiharkan dividen interim sebanyak 8 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 8 sen, menjadikan jumlah dividen FY26 sebanyak 16 sen sesaham berbanding 8 sen pada FY25. Jumlah itu memberikan hasil dividen sekitar 4%.
HLIB menyifatkan pembayaran dividen khas tersebut sebagai kejutan positif yang mencerminkan komitmen pengurusan dalam memberi ganjaran kepada pemegang saham, selain menjadi petunjuk terhadap kedudukan aliran tunai dan kapasiti kunci kira-kira kumpulan. - DagangNews.com








