KUALA LUMPUR 16 Jun - IOI Properties Group Bhd (IOIProp) berkemungkinan melaksanakan penyeneraian amanah pelaburan hartanah (REIT) pada separuh kedua tahun 2026 (2H26), merangkumi aset seperti IOI City Mall Fasa 1 dan 2, pejabat serta hotel di Malaysia, dengan anggaran penilaian antara RM7 bilion hingga RM8 bilion, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas pengambilalihan penuh South Beach Development baru-baru ini, pihak pengurusan turut menyasarkan potensi penyenaraian REIT di Singapura pada 2027melibatkan gabungan aset dari IOI Central Boulevard (IOICB) dan South Beach Development, dengan anggaran penilaian antara RM23 bilion hingga RM26 bilion.
“Dengan andaian IOIProp mengekalkan pegangan 50% dalam kedua-dua REIT, syarikat boleh meraih hasil keseluruhan sebanyak RM15 bilion hingga RM17 bilion bagi mengurangkan hutang dan nisbah penggearan kepada sekitar 0.3x.
“Sehingga akhir Mac 2025, jumlah pinjaman IOIProp berjumlah RM19.4 bilion, tidak termasuk RM3.6 bilion (S$1.09 bilion) daripada South Beach Development. Selepas penyatuan kunci kira-kira, nisbah penggearan bersih dijangka meningkat kepada 0.93 kali, daripada 0.75 kali pada akhir Mac 2025,” katanya dalam satun nota kajian.
Awal bulan ini, IOIProp memperoleh kawalan penuh ke atas projek South Beach di Singapura dengan mengambil alih baki pegangan 50.1% daripada City Developments Ltd yang berpangkalan di Singapura.
UOBKH berkata, walaupun pengambilalihan South Beach Development mungkin dilakukan pada harga yang sedikit premium, pemilikan penuh dijangka memberi IOIProp lebih fleksibiliti untuk meningkatkan hasil dalam jangka masa panjang.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kadar penghunian sebenar Menara South Beach adalah 80% disebabkan pemergian penyewa utama, kadar penghunian komited kekal tinggi pada 92.4% setakat akhir Mac 2025.
“Kini, menara Gred A setinggi 34 tingkat itu menawarkan 509,000 kaki persegi ruang pejabat dan mempunyai penyewa utama seperti Baker McKenzie Wong & Leow serta Legos.
“Kadar sewa bulanan purata kini sekitar S$11 bagi setiap kaki persegi (psf), lebih tinggi daripada purata sewa pejabat Gred A di Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) sebanyak S$9.80 psf, menurut Penyelidikan Savills,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, komponen hotel, JW Marriott (634 bilik), kini beroperasi hampir pada tahap pulang modal (namun aliran tunai adalah positif) dengan kadar penghunian sebanyak 76% dan kadar harian purata sebanyak S$460, yang sebahagian besarnya disebabkan kebergantungan kepada kadar korporat dan kekurangan acara berskala besar.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan segmen hotel akan beransur pulih disokong peningkatan pelancong asing dan kurang penekanan terhadap pelanggan korporat,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhan, South Beach Development mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM63 juta dan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM331 juta bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
“Berdasarkan penilaian keseluruhan aset South Beach sebanyak RM5.5 bilion (seperti yang diandaikan melalui pengambilalihan pegangan 50.1%), ini menterjemahkan kepada hasil bersih sebanyak 1.2% dan hasil NPI sebanyak 6%. Jurang besar antara hasil bersih dan hasil NPI ini sebahagian besarnya disebabkan oleh caj susut nilai dan pelunasan yang tinggi, serta perbelanjaan faedah,” katanya. - DagangNews.com








