KUALA LUMPUR 22 Okt - IOI Corporation Berhad berisiko disingkirkan daripada senarai 30 saham utama FBM KLCI kerana gagal ujian kecairan selama tiga bulan, menurut MBSB Research.
Katanya, dijangka 30 saham utama kekal tidak berubah bagi semakan Disember 2025 tetapi analisis semasa menunjukkan, IOI Corp berisiko disingkirkan kerana gagal melepasi ujian kecairan.
“Syarikat itu mungkin dikeluarkan sekiranya gagal lagi dalam ujian kecairan pada November 2025, dan tempatnya berkemungkinan besar akan diambil Westports Holdings Bhd,” kata dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggarannya, IOI Corp merupakan satu-satunya konstituen indeks yang tidak memenuhi keperluan kecairan bagi bulan Jun (0.038%), Julai (0.031%) dan Ogos (0.036%).
Katanya, peraturan asas FTSE menetapkan konstituen sedia ada mesti lulus sekurang-kurangnya lapan daripada 12 bulan dengan perolehan median bulanan sekurang-kurangnya 0.040%.
“Pada masa ini, tiada konstituen sedia ada yang naik atau turun ke paras ambang kedudukan berdasarkan permodalan pasaran,” katanya.
MBSB Research berkata, sesuatu sekuriti hanya akan dimasukkan dalam semakan berkala jika ia naik ke kedudukan ke-25 atau lebih tinggi, manakala penghapusan berlaku jika ia jatuh ke kedudukan ke-36 atau lebih rendah.
“Berdasarkan anggaran kami terhadap 40 saham teratas setakat Selasa, semuanya memenuhi keperluan pegangan bebas melebihi 15%.
"Selain IOI Corp, tiga saham bukan konstituen juga gagal memenuhi keperluan kecairan, iaitu Hong Leong Financial Group, KLCCP Stapled Group, dan Fraser & Neave Holdings,” katanya.
Walaupun senarai simpanan dijangka kekal sebahagian besarnya sama, bank itu menjangka Genting Malaysia akan dimasukkan ke dalam senarai tersebut dalam semakan akan datang, menggantikan IOI Properties Group, tertakluk kepada maklumat lanjut mengenai garis masa penswastaan yang dicadangkan oleh Genting Malaysia. - DagangNews.com








