KUALA LUMPUR 10 Okt – TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan Inta Bina Group Berhad bagi tahun kewangan 2025 dan 2026, susulan pembangunan pelbagai projek pembinaan yang lebih perlahan.
Firma penyelidikan berkenaan dalam nota kajiannya menambah, sumbangan hartanah yang ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan turut berisiko menjejaskan potensi pertumbuhan kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu, ia mengulangi saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham dikurangkan kepada 88 sen daripada RM1.00 sebelum ini, berdasarkan penilaian tidak berubah 11 kali unjuran pendapatan FY26.
“Kami menyemak semula kadar 'pembakaran' atau kemajuan kerja daripada buku tempahan dan menunda sumbangan projek hartanah kepada FY26 berikutan pelancaran yang dilewatkan,” jelas TA Securities.
Ia namun kekal yakin terhadap prospek jangka pendek Inta Bina, dipacu tempahan kukuh sebanyak RM1.7 bilion, bersamaan kira-kira 2.5 kali hasil FY24, dan saluran tender aktif sekitar RM4.5 bilion.
Ini katanya, terutama daripada pemaju mapan seperti Eco World, Gamuda Land, Sime Darby Property dan Tropicana dengan kumpulan tersebut sudah mencatatkan RM865.2 juta kemenangan kerja setakat ini.
Nilai itu kata TA Securities, bersamaan 86.5% daripada sasaran FY25 iaitu RM1.0 bilion dan syarikat optimis sasaran akan dicapai menjelang akhir tahun, disokong kadar pertukaran tender yang sihat.
Langkah strategik Inta Bina beralih ke projek reka dan bina turut dilihat mampu meningkatkan margin menerusi kawalan kos dan daya saing projek berskala besar, terutama pembangunan bertingkat tinggi.
"Selain itu, pihak pengurusan kumpulan ini turut membida banyak lagi projek perumahan bertingkat tinggi di Johor, sejajar dengan permintaan kediaman yang semakin kukuh di negeri itu," katanya.
TA Securities menambah, setakat akhir September 2025, projek Senuri Residences yang dilaksanakan sudah berjaya mencapai kemajuan sebanyak 60% dengan kesemua 443 unit pasaran terbuka habis terjual.
Bagaimanapun tambah firma berkenaan, hanya 10% unit atau 78 unit di bawah skim Rumah Selangorku, berjaya dijual, disebabkan kadar penolakan pinjaman yang tinggi dalam kalangan pembeli M40 dan B40.
Pelancaran projek baharu Seiring Setia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta di Bukit Jelutong ketika ini sudah dijadualkan dapat dimulakan sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
"Sementara itu, projek pembangunan berfasa di Glenmarie dijangka bermula pada suku pertama 2027. Dua projek ini dijangka menjadi penyumbang utama hasil hartanah FY26 dan FY28," kata TA Securities.
Inta Bina turut merancang meluaskan kehadiran dalam segmen perumahan mampu milik melalui program Rumah Selangorku, selari inisiatif kerajaan negeri dan permintaan berterusan dalam pasaran massa.
Susulan pelarasan semula itu, unjuran pendapatan teras FY25 dan FY26 masing-masing disemak turun sebanyak 8.5% dan 11.9%, manakala FY27 dinaikkan 8.8% daripada hasil tertangguh tetapi diyakini.
TA Securities menegaskan margin kekal stabil walaupun berdepan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan gaji minimum pekerja, disebabkan pendedahan rendah kepada projek komersial.
“Kami terus menyukai Inta Bina sebagai penerima langsung pemulihan sektor hartanah, buku tempahan kukuh serta strategi peningkatan margin melalui projek reka dan bina,” katanya. - DagangNews.com








