KUALA LUMPUR 23 Sept – Insulin manusia dibangunkan Pharmaniaga Berhad dijangka menjadi pemacu utama kepada lonjakan pendapatan baharu syarikat farmaseutikal berkenaan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan itu terutama jika berjaya meraih tender Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembekalan sehingga 60 juta dos dalam tempoh tiga tahun bernilai RM400 juta.
Katanya, insulin itu bukan sahaja berpotensi besar menembusi pasaran sektor awam, tetapi mendapat kelebihan daya saing harga dan dijangka menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Produk ini tonggak dalam pelan pemulihan Pharmaniaga dan dijangka menyumbang margin untung, yang mempercepatkan proses keluar daripada status syarikat bermasalah,” jelasnya dalam nota kajian.
Kumpulan itu kata MBSB Research, berada di landasan kukuh untuk bebas status Nota Amalan 17 (PN17) seawal suku pertama tahun kewangan 2026, selepas melengkapkan pelan regularisasi pada Ogos 2025.
Ia melibatkan pengurangan modal dan penempatan saham baharu, dengan 19 pelabur institusi mengambil bahagian, menyaksikan saham terbitan meningkat kepada 6.557 bilion unit daripada 1.441 bilion.
Pegangan pemegang saham utama pula katanya, menyusut daripada 55% kepada 44% dan langkah tersebut mengukuh struktur modal serta membuka peluang kepada ramai pelabur strategik menyertai pemulihan.
"Selain insulin manusia, Pharmaniaga aktif membangunkan produk GLP-1 untuk rawatan diabetes dan pengurusan berat badan, serta beberapa vaksin utama yang dijangka diedarkan mulai 2027," katanya.
MBSB Research berkata, syarikat itu kini memfokuskan pertumbuhan dalam bidang biofarmaseutikal bernilai tinggi berbanding ubat generik, yang sebelum ini menjadi teras perniagaan kumpulan.
Sebagai memenuhi komitmen di bawah perjanjian konsesi bersama KKM, Pharmaniaga memperoleh hartanah kilang dan pejabat di Pulau Pinang bernilai RM30 juta.
Ia merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menambah empat gudang baharu di Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Pharmaniaga juga menyasarkan untuk melancarkan 10 produk generik baharu setiap tahun, berbanding hanya dua sebelum ini. Syarikat turut meneroka potensi dalam segmen peranti perubatan dan barangan guna habis seperti produk pergigian dan sokongan ortopedik, yang kini menyumbang sehingga RM45 juta setahun kepada hasil kumpulan.
Bagi separuh pertama FY25, Pharmaniaga mencatatkan hasil RM1.98 bilion (+10% YoY) dan keuntungan bersih teras sebanyak RM33.5 juta (+18% YoY).
Lonjakan ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam segmen konsesi dan penambahan produk baharu dalam senarai APPL, serta langkah penjimatan kos.
Syarikat berkenaan katanya, turut menjangkakan pertumbuhan hasil logistik dan pengedaran sebanyak 15 hingga 20% YoY untuk separuh kedua FY25.
MBSB Research namun turut memberi amaran terhadap cabaran ketidaktentuan dalam tender insulin oleh kerajaan serta kemungkinan perubahan dasar harga ubat, yang boleh memberi tekanan ke atas margin keuntungan.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan bahawa risiko tersebut masih terkawal, dengan mengambil kira kos pengeluaran yang kompetitif serta pensijilan halal sebagai nilai tambah utama.
Berdasarkan unjuran FY26 dan prospek pemulihan yang kukuh, MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Pharmaniaga dengan harga sasaran 32 sen sesaham, sejajar dengan purata industri farmaseutikal di Malaysia.
“Pharmaniaga kini berada di fasa penting kebangkitan keluar dari PN17 dengan strategi pemulihan mampan. Dengan sokongan kerajaan, asas kewangan kukuh, dan hala tuju strategik yang selari dengan arus global, syarikat ini berpotensi menjadi antara peneraju farmaseutikal tempatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata laporan itu. - DagangNews.com








