Institusi Jurutera Malaysia bimbang pindaan Akta Juruukur Tanah, gesa dikaji semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institusi Jurutera Malaysia bimbang pindaan Akta Juruukur Tanah, gesa dikaji semula

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Feb — Institusi Jurutera Malaysia (IEM) menggesa agar dilakukan kajian semula segera terhadap pindaan terkini Akta Juruukur Tanah Berlesen (LLSA) 1958 untuk menentukan peranan dan tanggungjawab jurutera dan juruukur tanah.

 

Presidennya, Jeffrey Chiang berkata, pindaan akta tersebut memperluaskan skop juruukur tanah profesional kepada bidang yang secara kebiasaannya hanya mampu dikendalikan oleh jurutera bertauliah di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

 

“IEM amat percaya bahawa perkembangan pindaan ini boleh menimbulkan risiko besar kepada kebertanggungjawaban sesuatu projek, tahap konsistensi peraturan dan yang paling kritikal, ialah isu keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Chiang menyeru kerajaan serta pihak berkepentingan supaya dapat mengambil tindakan segera dalam memberikan definisi perbezaan yang jelas antara peranan jurutera dan juruukur tanah untuk mengelakkan timbul isupertikaian bidang kuasa.

 

Malah tambahnya, akta yang dipinda itu mewujudkan kesamaran dalam peranan dimainkan oleh jurutera dan juruukur tanah dalam aspek kritikal seperti penentuan sempadan, geodetik, dan projek prasarana termasuk jalan, jambatan dan terowong.

 

“Kebanyakan tugas sebegini menuntut tahap pengetahuan kejuruteraan yang lebih khusus, termasuk cara pengiraan kompleks untuk kestabilan kawasan, integriti struktur dan keselamatan projek.

 

“Ironi, perluasan skop juruukur ke dalam bidang ini menimbulkan kekeliruan mengenai kuasa undang-undang dan akauntabiliti, yang berpotensi menjejaskan pengawasan dan pelaksanaan pembangunan projek,” katanya.

 

Selain itu, Chiang juga memberi amaran mengenai risiko keselamatan awam yang berkaitan dengan pengagihan tugas intensif kejuruteraan kepada individu yang mungkin tidak memiliki standard kelayakan diperlukan.

 

Beliau bahkan berkata bahawa pengenalan bidang kuasa yang bertindih antara LLSA dan Lembaga Jurutera Malaysia sendiri juga dibimbangi akan menimbulkan konflik kawal selia kepada pemain industri tempatan.

 

"Keperluan kelulusan projek, ketepatan tinjauan dan piawaian reka bentuk yang tidak konsisten boleh mencetuskan kekeliruan kepada profesional industri, melambatkan projek, meningkatkan kos dan pertikaian undang-undang mengenai keutamaan peraturan," katanya.

 

Tegasnya, kepentingan pembangunan infrastruktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia, memerlukan garis panduan kawal selia yang jelas dan adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kesinambungan projek. - DagangNews.com