KUALA LUMPUR 23 Jun – Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) memperkasa 275 usahawan tempatan menerusi Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis yang diadakan di MARDICorp Academy, Serdang.
Para peserta diberi pendedahan mengenai kaedah pembangunan produk dan servis yang berkesan, sekali gus mempersiapkan mereka memasuki pasaran baharu serta meningkatkan prestasi jualan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, seminar yang dianjurkan bukan sekadar berasaskan teori, sebaliknya turut menyediakan platform praktikal.
"Seramai 30 usahawan terpilih menjalani sesi penilaian produk dan perkhidmatan secara langsung bersama jurulatih serta wakil industri bagi mendapatkan maklum balas terhadap potensi dan penambahbaikan produk masing-masing.
"INSKEN turut mengalukan lebih ramai rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menjayakan program seperti ini demi memberi manfaat secara meluas kepada komuniti usahawan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Program itu merangkumi lima modul utama yang dirangka khusus untuk membina asas yang kukuh merangkumi aspek analisis pasaran, prototaip, pengesahan, pengkomersialan, dan pengeluaran termasuk penyumberan, pengiraan kos serta perletakan harga.
Pendekatan itu juga membolehkan usahawan memahami keseluruhan rantaian proses penghasilan produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja berkualiti, malah berdaya saing dan mampan di pasaran.
Program berkenaan telah menarik lebih 3,000 peserta menerusi tujuh siri seminar di seluruh negara.
Seminar sehari itu merupakan kerjasama strategik bersama HRD Corp, dengan penglibatan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
INSKEN turut menyasarkan penganjuran di 15 lokasi strategik pada tahun ini bagi memperluas akses bimbingan kepada lebih ramai usahawan berpotensi.- DagangNews.com








