Insights Analytics terima kontrak bernilai RM11.4 juta atasi kekurangan bekalan air di Sibu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insights Analytics terima kontrak bernilai RM11.4 juta atasi kekurangan bekalan air di Sibu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 NovInsights Analytics Berhad meraih kontrak projek berasaskan prestasi bagi menangani kekurangan bekalan air akut bernilai RM11.461 juta di kawasan Nibong Tada, Sibu, Sarawak.


Kumpulan penyedia rumusan teknologi itu berkata, tender baharu berkenaan diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Insights Analytics Technologies Sdn Bhd, daripada W Realty Holding Sdn Bhd.


Syarikat tersebut jelasnya, akan bertindak sebagai kontraktor kecil projek dengan tarikh mula kerja itu ditetapkan pada 24 November 2025 dan dijangka perlu siap sepenuhnya menjelang 7 Mei 2026.


"Selepas tarikh akhir itu, projek berkenaan akan memasuki pula tempoh operasi dan penyelenggaraan selama 60 bulan," kata Insights Analytics dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Ia bagaimanapun menambah, bon prestasi dan insurans akan diuruskan oleh kontraktor utama, dengan projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak. 


Tiada kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa diperlukan untuk penerimaan kontrak ini, serta tiada konflik kepentingan wujud dalam kalangan pengarah atau pemegang saham utama.


Insights Analytics turut menegaskan bahawa projek berkenaan tertakluk kepada pelbagai risiko operasi, pembinaan dan peraturan yang dianggapnya boleh diuruskan dalam urusan perniagaan biasa.


"Pihak Lembaga Pengarah yakin projek ini adalah kepentingan terbaik bagi kumpulan tersebut, setelah ia baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2025. - DagangNews.com