KUALA LUMPUR 13 Okt – Setelah kukuh kedudukannya dalam sektor air dan infrastruktur di Sarawak, Insights Analytics Berhad bersedia meneroka peluang lebih luas dalam pelbagai sektor industri.
Pengarah Urusannya, Frank Wee Khiam Hui berkata, ia menyasarkan prospek di Semenanjung Malaysia, dipacu dana dijana daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2025.
Syarikat itu kata beliau, bukan sahaja menumpukan satu sektor, malah sektor pembinaan, logistik, penyelenggaraan jalan dan hospitaliti menerusi platform pintar berasaskan data boleh disesuaikan.
“Satu-satunya yang berubah hanyalah jenis aset, tetapi sistem asas kami boleh digunakan untuk pelbagai industri. Jika dahulu cuma paip air, kini termasuk kabel elektrik, jalan raya atau bilik hotel pula,” katanya.
Khiam Hui yakin, Insights Analytics berpangkalan di Sarawak itu mampu mempercepatkan pengembangan ke Semenanjung Malaysia menerusi penubuhan pejabat di Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat.
Syarikat itu tambahnya, bersedia mengambil 25 pekerja baharu selepas penyenaraian serta perluasan akses rumusan seperti IntelliWater, IntelliConstruct, IntelliTrack, IntelliRoad dan IntelliHotel.
Sebahagian besar perniagaan semasa di Sarawak diperoleh secara rangkaian sebaran dari mulut ke mulut dengan kumpulan kini berkhidmat kepada 40 daripada 50 pelanggan utama di negeri tersebut.
"Kami mendapati 60% hasil ketika ini daripada rumusan perkhidmatan selain air dengan 40% pelanggan terikat kontrak tahunan yang menjana aliran pendapatan berulang lebih stabil," kata Khiam Hui.
Selain itu jelas beliau, prestasi margin selepas cukai menunjukkan peningkatan bermula pada FY23 (11.8%), FY24 (21.6%) dan FY25 (38.2%) dengan kos pembangunan besar ditanggung di peringkat awal.
Selepas itu katanya, setiap tambahan pelanggan memberi margin yang tinggi kerana produk tersebut boleh diselaraskan, manakala buku tempahan yang belum dibil syarikat sudah mencecah RM35.3 juta.
Insights Analytics tambah Khiam Hui, kini membangunkan teknologi digital twin, iaitu platform simulasi maya untuk pengurusan ramalan banjir, kawalan trafik dan sistem perparitan masa nyata.
“Digital twin turut boleh melaksanakan simulasi bandar, pelabuhan atau bangunan dalam dunia maya untuk aktiviti ramalan dan pemantauan yang lebih cekap melibatkan mana-mana lokasi,” ujar beliau.
Sehubungan itu katanya, syarikat bersedia dengan fokus pasaran baharu termasuk industri pelbagai sektor di Semenanjung Malaysia dengan kos pembangunan lebih rendah berbanding perisian luar.
Justeru Khiam Hui optimis dengan unjuran firma penyelidikan TA Securities yang menjangkakan kumpulan itu mampu mencatatkan pertumbuhan positif pada FY26 sebanyak 32.8%. - DagangNews.com








