KUALA LUMPUR 18 Ogos - Insights Analytics Berhad (IAB) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia rumusan teknologi kepakaran dalam membekalkan teknologi air pintar untuk pengurusan utiliti air, yang berpusat di Sarawak itu berkata, penyenaraian dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025.
IAB memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan air dari peringkat rawatan hingga ke pengagihan, terutama di negeri berkenaan dengan IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 121.0 juta saham baharu.
"Syarikat juga menjual 27.5 juta saham sedia ada, mewakili masing-masing 22.0% dan 5.0% daripada modal saham diperbesarkan sebanyak 550 juta saham semasa penyenaraian," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, daripada saham baharu tersebut, sebanyak 27.5 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 11.0 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan penyumbang layak.
Sejumlah 41.25 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh kerajaan, dan baki 41.25 juta saham baharu diberikan kepada pelabur terpilih secara penempatan persendirian.
Kesemua saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan kata IAB, turut diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menerusi perjanjian yang dimeterai, M&A Securities akan menjamin sepenuhnya 38.5 juta saham baharu kumpulan itu untuk ditawarkan kepada orang awam dan melalui borang khas berwarna merah jambu.
Setakat 1 Januari 2025, IAB mempunyai buku tempahan belum dibil RM36.1 juta, yang diiktiraf secara progresif dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang, selaras dengan kemajuan pelaksanaan projek.
Pengarah Urusan IAB, Frank Wee berkata, penyenaraian ini akan membuka peluang kepada syarikat untuk mendapatkan dana bagi pengembangan perniagaan dan peningkatan keupayaan teknologi kumpulan itu.
"Langkah ini turut menyokong modal kerja untuk projek sedia ada dan akan datang, serta memanfaatkan peluang dalam pengurusan air pintar dan pembangunan bandar pintar di Sarawak sendiri," katanya.
Tambah beliau, dengan lebih 20 tahun kepakaran, IAB berada dalam kedudukan kukuh untuk menyokong agenda Transformasi Sektor Air 2040 negeri berkenaan dan inisiatif digitalisasi utiliti negara.
IAB juga menyampaikan rumusan pintar berpandukan data seiring dengan rancangan naik taraf prasarana, pendigitalan utiliti dan inisiatif air pintar bersepadu yang giat dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Kata Frank, bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, IAB mencatat keuntungan bersih RM6.9 juta dengan pendapatan RM32 juta, ,argin untung kasar 40.0% dan argin keuntungan bersih 21.6%.
M&A Securities dilantik untuk bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi keseluruhan proses IPO tersebut. - DagangNews.com








