KUALA LUMPUR 10 Okt – Insights Analytics Berhad berpotensi meraih manfaat besar daripada lonjakan permintaan terhadap rumusan teknologi air dan pengurusan aset pintar, menurut TA Securities.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu meramal prospek pertumbuhan syarikat selepas tawaran awam permulaan (IPO) masih berdepan risiko besar yang boleh melemahkan pencapaian jangka panjang.
Tambahnya, antara masalah utama ialah kebergantungan tinggi terhadap badan berkanun di Sarawak dengan sebahagian besar hasil masih datang daripada projek dan kontrak berkaitan agensi air negeri itu.
"Ini termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sarawak Water Sdn Bhd yang menjadikan Insight Analytics terdedah luas kepada risiko ketidaktentuan," kata TA Securities dalam notanya.
Masalah berkenaan jelasnya, meliputi peruntukan kerajaan negeri yang terhad, gangguan perubahan dasar tidak dijangka secara tiba-tiba, atau berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek diperoleh.
Firma itu menambah, kumpulan tersebut juga belum mempunyai tempahan kerja yang mampu menjamin kesinambungan hasil dalam tempoh jangka panjang, walaupun buku belum dibil sebanyak RM35.3 juta.
Angka berkenaan kata TA Securities, sebenarnya dianggap masih belum mencukupi dan selesa untuk menjamin pertumbuhan secara mampan sekiranya tiada sokongan daripada projek baharu berterusan.
"Kami namun mengekalkan prospek yang positif terhadap pertumbuhan Insights Analytics dalam jangka sederhana, disokong oleh pelbagai strategi peluasan pasaran ke Semenanjung Malaysia," jelasnya.
Ia turut merangkumi usaha pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta rancangan perpindahan ke ibu pejabat korporat baharu yang lebih besar di Kuching selepas beberapa tahun.
TA Securities meletakkan nilai wajar sebanyak 55 sen sesaham, iaitu 52.8% lebih tinggi daripada harga IPO sebanyak 36 sen, berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan kira-kira 12 kali.
Pada masa sama, ia menegaskan syarikat itu untuk mencapai pertumbuhan mapan perlu mengurangkan kebergantungan yang terlalu tinggi kepada beberapa pelanggan sahaja atau wilayah tertentu.
"Insights Analytics wajar mengukuhkan kehadiran di pasaran Semenanjung Malaysia, memastikan aliran masuk projek baharu secara konsisten dan pelaburan strategik untuk mempelbagaikan hasil," katanya.
Kejayaan IPO kata TA Securities, bukan penamat sebaliknya permulaan keperluan kepada Insights Analytics untuk membuktikan ia mampu membina asas pertumbuhan kukuh dan mampan di luar Sarawak.
Syarikat perkhidmatan teknologi berkenaan dijadualkan membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2025. - DagangNews.com








