Insiden kebakaran di kilang Filipina, Inari Amertron anggar kerugian bawah AS$5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insiden kebakaran di kilang Filipina, Inari Amertron anggar kerugian bawah AS$5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Inari Amertron Berhad memaklumkan satu insiden kebakaran berlaku di kilang pembuatannya di Clark, Filipina pada 10 Mei 2026 yang menjejaskan sebahagian kawasan operasi pengeluaran syarikat itu dengan anggaran kerugian awal bawah AS$5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Inari berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 2.30 petang di fasiliti milik anak syarikat milik penuhnya, Amertron Incorporated Philippines (AIP), melibatkan sebahagian ruang pengeluaran di loji CK1 di Clark, Filipina.

 

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Filipina berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya sekitar pukul 3.40 petang pada hari sama.

 

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pendawaian elektrik di bahagian siling bangunan itu,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut Inari Amertron, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan.

 

Kebakaran itu menjejaskan sebahagian lantai pengeluaran termasuk beberapa mesin, inventori dan kemudahan sokongan, manakala tahap kerosakan sebenar serta punca insiden masih dalam penilaian pihak berkuasa berkaitan dan syarikat insurans.

 

Kawasan Terjejas

Syarikat itu berkata, kawasan yang terjejas dianggarkan berkeluasan 12,500 kaki persegi atau kira-kira 10% daripada keseluruhan ruang pengeluaran loji CK1 yang berkeluasan 125,000 kaki persegi.

 

“Operasi dihentikan sementara bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan serta kerja pembersihan dijalankan, manakala kawasan lain di loji CK1 turut digantung sementara susulan penutupan bekalan elektrik yang diarahkan pihak bomba.

 

“Operasi di kawasan tidak terjejas di CK1 dijangka disambung semula selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa serta pemasangan talian kuasa khas baharu selesai dilaksanakan.

 

“Bagaimanapun, satu lagi fasiliti pengeluaran AIP iaitu CK2 yang mempunyai keluasan 83,000 kaki persegi tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

 

Pada masa sama, Inari Amertron berkata, pihaknya sedang menilai alternatif pengeluaran bagi mengurangkan gangguan penghantaran kepada pelanggan dan memastikan kesinambungan operasi syarikat.

 

Katanya, impak kewangan akibat insiden itu masih belum dapat dianggarkan secara tepat sehingga proses penilaian selesai dilakukan, namun kerugian dijangka tidak melebihi AS$5 juta.

 

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan insiden tersebut,” katanya. - DagangNews.com