Insas Berhad raih RM84 juta hasil jualan 100 juta saham Inari Amertron, pegangan susut kepada 9.67% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insas Berhad raih RM84 juta hasil jualan 100 juta saham Inari Amertron, pegangan susut kepada 9.67%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Mei – Insas Berhad menjual 100 juta saham dalam Inari Amertron Berhad bernilai RM186 juta menerusi transaksi perniagaan langsung yang mengurangkan pegangannya dalam syarikat teknologi itu kepada 9.67%.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Insas berkata pelupusan saham tersebut dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Insas Plaza Sdn Bhd dan Insas Technology Bhd.

 

Saham berkenaan dijual pada harga RM1.86 sesaham melalui urus niaga yang diatur oleh unit broker kumpulan itu, M&A Securities Sdn Bhd.

 

“Harga jualan tersebut mewakili diskaun 1.59% berbanding harga penutupan terakhir Inari Amertron RM1.89 pada 18 Mei lalu serta diskaun 0.77% berbanding harga purata wajaran volum RM1.8745.

 

“Pelupusan berkenaan dijangka menjana keuntungan sebanyak RM84 juta di peringkat kumpulan dan keuntungan agregat RM120 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut syarikat itu, kos asal pelaburan bagi saham terbabit hanyalah sekitar RM23 juta, manakala nilai selepas mengambil kira keuntungan dan rizab pasca pemerolehan dianggarkan sekitar RM80 juta.

 

“Pelupusan ini membolehkan kumpulan merealisasikan keuntungan modal dan memanfaatkan sebahagian pelaburan dalam Inari,” katanya.

 

Tambah Insas, hasil daripada pelupusan saham itu akan digunakan bagi tujuan modal kerja selain pembayaran semula pinjaman bank kumpulan.

 

Sepanjang tempoh 12 bulan lalu, Insas telah memperdagangkan kira-kira 146.9 juta saham Inari Amertron menerusi urus niaga pasaran terbuka dan transaksi perniagaan langsung dengan nilai keseluruhan RM293.8 juta. - DagangNews.com