Ingenieur terima 38 unit hartanah di Kajang sebagai penyelesaian hutang RM13.69 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ingenieur terima 38 unit hartanah di Kajang sebagai penyelesaian hutang RM13.69 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 April - Ingenieur Gudang Bhd mendapatkan semula hutang berjumlah RM13.69 juta yang terhutang kepada anak syarikat milik penuhnya melalui pemindahan 38 unit hartanah di Kajang, sekali gus menukar hutang kepada aset tanpa melibatkan aliran keluar tunai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Ingenieur EPCM Sdn Bhd telah memeterai perjanjian penyelesaian tiga pihak bersama Keng Huat Construction Sdn Bhd dan Paris Dynasty Land Sdn Bhd.

 

Di bawah perjanjian tersebut, hutang Keng Huat kepada Ingenieur EPCM yang timbul daripada kerja subkontrak bagi projek Louvre Residence akan dipindahkan kepada Paris Dynasty Land selaku pemaju projek.

 

Paris Dynasty Land kemudiannya akan melangsaikan jumlah tersebut melalui pemindahan 37 unit pangsapuri servis dan satu unit kedai runcit dalam pembangunan berkenaan.

 

Keng Huat sebelum ini bertindak sebagai kontraktor utama projek, manakala Ingenieur EPCM merupakan subkontraktor.

 

Menurut Ingenieur, daripada jumlah unit yang diterima, sebanyak 26 unit adalah kosong manakala selebihnya telah disewakan.

 

Kadar sewaan bulanan bagi unit kediaman adalah antara RM1,300 hingga RM1,900 seunit, manakala tiga unit disewakan mengikut bilik dengan kadar antara RM600 hingga RM980 sebulan.

 

Unit kedai runcit pula disewakan pada kadar RM3,400 sebulan.

 

“Kumpulan bercadang untuk memegang hartanah tersebut bagi tujuan penjanaan pendapatan sewaan dan/atau pelupusan pada masa hadapan,” katanya.

 

Keseluruhan unit berkenaan mempunyai keluasan binaan 42,115 kaki persegi serta dilengkapi 70 petak tempat letak kereta.

 

Nilai penyelesaian ditetapkan pada RM300 sekaki persegi bagi pangsapuri servis dan RM1,214 sekaki persegi bagi unit runcit, tanpa penilaian bebas dijalankan.

 

Bagaimanapun, penilaian dalaman berdasarkan transaksi setanding menunjukkan harga pasaran bagi pangsapuri servis di kawasan tersebut dianggarkan antara RM409 hingga RM637 sekaki persegi, manakala unit runcit antara RM938 hingga RM1,688 sekaki persegi.

 

Menurut syarikat itu, langkah tersebut merupakan pendekatan pragmatik bagi mengurangkan risiko kredit serta mempercepatkan pemulihan hutang tertunggak.  - DagangNews.com