KUALA LUMPUR 16 Okt – Infomina Berhad dijangka mampu mencatat tempahan tender yang mencecah sehingga RM600 juta menjelang akhir tahun kewangan 2026 (FY26), menurut AmInvestment Bank.
Sasaran perolehan berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, didorong oleh faktor peningkatan pembaharuan kontrak utama dan pengembangan agresif pelbagai projek tambahan di luar negara.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' serta harga sasaran RM1.70 sesaham, berasaskan unjuran pendapatan bagi FY27 dan penilaian nisbah harga kepada hasil sebanyak 24 kali.
“Sebahagian besar tempahan baharu ini bakal terdiri daripada pembaharuan kontrak sedia ada yang dijangka mula diterima Infomina mulai suku ketiga FY26," tambah AmInvest dalam notanya hari ini.
Jelas firma berkenaan, keadaan itu dijangka berupaya melonjakkan lagi buku tempahan kumpulan tersebut daripada hanya sebanyak RM291 juta pada ketika ini kepada menghampiri RM600 juta.
Pada 14 Oktober 2025, kumpulan berkenaan memaklumkan keuntungan teras sebanyak RM8 juta bagi tempoh 1QFY26, susut 5% berbanding tahun lalu, namun masih sejajar dengan jangkaan penganalisis.
Walaupun pendapatan syarikat penyedia teknologi maklumat itu meningkat 18% tahun ke tahun (YoY), margin sedikit terjejas akibat peningkatan kos kakitangan dikaitkan dengan pengembangan ke Jepun.
Artikel berkaitan: Infomina catat untung selepas cukai RM8.13 juta bagi suku pertama FY2025
"Pasaran negara maju itu menyumbang 3% daripada hasil suku pertama, dan dijangka berkembang kepada 8% (FY26) dan 14% (FY27), selari dengan usia pematangan kontrak baharu di sana," kata AmInvest.
Buku tender Infomina turut meningkat 11% suku ke suku kepada RM927 juta, mencerminkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan utama, khususnya dalam rumusan sistem teras dan penyelenggaraan.
Sehubungan itu, dengan asas tempahan yang semakin kukuh, firma itu menjangkakan trend pertumbuhan pendapatan sebanyak 32% YoY dalam FY27, sekali gus bakal menjadi rekod baharu bagi syarikat.
Infomina juga kata AmInvest, sedang meneroka potensi jangka panjang melalui usaha sama strategik dengan Geolytik, menerusi pemilikan 51%, yang menyasarkan untuk membina infrastruktur digital.
"Langkah terbaharu itu membolehkan pelanggan memperkemas proses jual beli hartanah dan kami jangka ini boleh meningkatkan nilai syarikat itu sebanyak 4% dalam tempoh 3 hingga 5 tahun," tambahnya.
Malahan jelas firma penyelidikan tersebut, ia optimis mampu mencecah sehingga kira-kira 29% sekiranya pasaran hartanah yang bernilai sebanyak RM166 juta berjaya ditembusi sepenuhnya.
Bagaimanapun kata AmInvest, potensi ini masih belum lagi dimasukkan dalam unjuran semasa untuk memberikan ruang pertumbuhan secara tambahan kepada Infomina. - DagangNews.com








