Infomina menang kontrak infrastruktur teknologi RM137.1 juta daripada Siam Commercial Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infomina menang kontrak infrastruktur teknologi RM137.1 juta daripada Siam Commercial Bank

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 DisInfomina Berhad menerima Perjanjian Pembelian Menyeluruh (BPA) daripada Siam Commercial Bank Public Company Limited di Thailand bernilai AS$33.84 juta (RM137.1 juta).


Kumpulan tersebut berkata, ia diperoleh oleh anak syarikatnya di negara berkenaan, Infomina (Thailand) Co Ltd  bagi tempoh tiga tahun, yang bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.


BPA tersebut jelasnya, melibatkan penyediaan perkhidmatan operasi, penyelenggaraan dan sokongan aplikasi teknologi serta infrastruktur kepada institusi perbankan itu yang memiliki 640 cawangan.


"Di bawah perjanjian ini, Infomina akan bertanggungjawab membantu pembaharuan lesen perisian, serta menyediakan latihan kepada kakitangan bank," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Selain itu jelasnya, ia akan membekalkan dokumentasi operasi dan penyelenggaraan, serta memastikan persekitaran perisian bank tersebut sentiasa dikemas kini kepada versi sokongan yang terkini. 


Skop kerja itu turut meliputi sokongan teknikal dalam talian dan luar talian, penyelenggaraan berkala, perkhidmatan pembaikan secara 'ad-hoc', serta pemantauan dan pelaporan penggunaan sistem.


"Nilai BPA akan dibilkan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak, tidak termasuk cukai nilai tambah, dan sebarang pembaharuan tertakluk kepada rundingan dengan bank berkenaan," kara Infomina.


Siam Commercial Bank merupakan bank pertama di Thailand, ditubuhkan secara rasmi pada 30 Januari 1907 melalui surat perintah diraja oleh Raja Chulalongkorn atau lebih dikenali sebagai Rama V.


Infomina berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh perjanjian, namun, ia turut mengenal pasti risiko turun naik mata wang asing.


Situasi tersebut jelas kumpulan itu, khususnya dalam pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS), yang berpotensi boleh menjejaskan prestasi kewangan dan margin keuntungan untuk tempoh jangka pendek.


"Bagaimanapun lembaga pengarah menegaskan penerimaan BPA itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan tiada kepentingan langsung atau tidak langsung melibatkan individu syarikat," katanya. - DagangNews.com