Infomina mampu jana RM166 juta potensi pasaran hartanah menerusi usaha sama strategik Geolytik – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infomina mampu jana RM166 juta potensi pasaran hartanah menerusi usaha sama strategik Geolytik – AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptInfomina Berhad dijangka mampu membuka peluang baharu bernilai sehingga RM166 juta dalam industri pasaran hartanah tempatan menerusi usaha sama strategik dengan Geolytik.


Menurut AmInvestment Bank (AmInvest), potensi besar ini hadir melalui pembangunan platform digital inovatif seperti ValuationXchange dan PaymentXchange, diusahakan syarikat teknologi hartanah itu.


Aplikasi khusus tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, memang disasarkan bertujuan untuk memodenkan proses transaksi jual beli dan sewaan hartanah di Malaysia dengan amat cekap dan telus.


"Kerjasama ini bukan sahaja mampu mengubah landskap digital hartanah, malahan berupaya menambah sehingga 29% nilai kepada harga sasaran saham Infomina dalam tempoh 3 hingga 5 tahun," katanya.


Tambah AmInvest dalam notanya, usaha sama ini dengan 51% dikuasai Infomina melalui unit kecerdasan buatan (AI) milik penuhnya, dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan baharu yang cukup signifikan.


Kata firma tersebut, walaupun sumbangan kewangan daripada inisiatif AI itu masih belum dimasukkan ke dalam unjuran pendapatan semasa, prospek pertumbuhan jangka panjang amat memberangsangkan.


Platform ValuationXchange, yang bakal dilancarkan pada bulan depan, dibangunkan sebagai sistem tunggal untuk menghubungkan bank kepada penilai hartanah, ejen dan pelanggan secara langsung.


"Kami difahamkan yang ia menggunakan pendekatan bayar bagi setiap penggunaan dan dijangka menjana pendapatan tahunan sehingga RM16.5 juta kepada Infomina, dengan margin bersih 25%," kata AmInvest.


Platform ini jelasnya, menyasarkan untuk menangkap 80% daripada 169,000 transaksi jualan hartanah setahun, sekali gus membantu mengurangkan RM408 juta pinjaman tidak berbayar dalam industri.


Sementara itu, PaymentXchange menyasarkan untuk memperluas sistem pembayaran digital kepada agensi hartanah dengan yuran rujukan 0.2% daripada jumlah nilai transaksi hartanah sebanyak RM84 bilion.


AmInvest berkata, platform itu akan mengembangkan saiz pasaran boleh dilayan kepada RM166 juta, dan menjadi tulang belakang aspirasi pertumbuhan baharu Infomina dalam ekosistem hartanah digital.


"Kami turut melihat potensi teknologi ini membantu agensi hartanah dalam mengurus akaun pelanggan secara lebih selamat, mematuhi keperluan pematuhan dan mengurangkan risiko penipuan," tambahnya.


Di luar cabang AI pula, Infomina kekal menunjukkan prestasi kukuh dalam perniagaan teras melalui sebanyak dua pembaharuan kontrak utama yang dijangka menyumbang 35% kepada asas pembaharuan.


Ia diunjur menjadi pemacu keuntungan FY27 dengan kenaikan yuran sekitar 5% setahun, manakala pasaran Jepun juga mencatat pertumbuhan positif, dijangka menyumbang 14% daripada pendapatan FY27.


Justeru, AmInvest mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.70 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 23%, yang belum termasuk sebarang sumbangan daripada cabang AI syarikat.


"Dengan asas perniagaan kukuh dan keupayaan inovatif dalam teknologi hartanah digital, Infomina berada dalam kedudukan strategik mencipta nilai jangka panjang mampan kepada pelabur," katanya.


Pertumbuhan itu mengukuhkan kedudukannya bukan sekadar sebagai penyedia perkhidmatan teknologi maklumat biasa, tetapi peneraju transformasi pasaran hartanah digital tempatan. - DagangNews.com