Infomina, LGMS bangunkan platform AI permudahkan PKS patuhi standard keselamatan data kad pembayaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infomina, LGMS bangunkan platform AI permudahkan PKS patuhi standard keselamatan data kad pembayaran

Kerjasama Infomina dan LGMS dapat membantu PKS yang masih bergantung kepada penilaian kendiri disebabkan kos tinggi dan kerumitan proses audit penuh PCI DSS
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei – Infomina Berhad menerusi anak syarikatnya, Infomina AI Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan LGMS Berhad bagi membangunkan platform dipacu kecerdasan buatan (AI) pertama dalam industri yang direka untuk memudahkan proses pematuhan Payment Card Industry Data Security Standard (PCI DSS) bagi peniaga dan syarikat perniagaan.

 

Kerjasama jangka panjang antara dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia itu dijangka memperluaskan akses kepada perkhidmatan jaminan keselamatan siber profesional khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kekangan kos dan sumber untuk mendapatkan pensijilan penuh PCI DSS.

 

Platform tersebut menggabungkan kepakaran Infomina dalam AI dan automasi bersama pengalaman LGMS dalam penilaian keselamatan siber bagi mempercepat dan mempermudah proses audit serta pensijilan PCI DSS yang sebelum ini dianggap rumit dan memakan masa.

 

PCI DSS merupakan piawaian keselamatan global yang diwujudkan bagi melindungi data kad pembayaran dan memperkukuh tahap keselamatan siber syarikat yang mengendalikan transaksi kad pembayaran.

 

Di bawah kerjasama itu, Infomina AI membangunkan bot AI dikenali sebagai “Mina for PCI” yang membantu peniaga melengkapkan sebahagian besar dokumentasi penilaian yang diperlukan untuk pensijilan PCI DSS melalui penggunaan gerbang pembayaran.

 

LGMS pula menyumbang kepakaran dalam penilaian keselamatan siber dan pematuhan bagi memastikan keseluruhan proses kekal sejajar dengan keperluan pensijilan PCI DSS antarabangsa serta amalan terbaik industri.

 

Menurut kedua-dua syarikat, penggunaan AI dalam proses pematuhan itu mampu memendekkan tempoh penilaian, meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan beban kerja manual tanpa mengetepikan pemantauan profesional melalui pengesahan akhir oleh Qualified Security Assessor (QSA).

 

Mereka berkata, kerjasama tersebut turut menangani jurang pematuhan yang semakin ketara dalam pasaran apabila ramai peniaga kecil masih bergantung kepada penilaian kendiri disebabkan kos tinggi dan kerumitan proses audit penuh PCI DSS.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina Berhad, Yee Chee Meng berkata, kerjasama itu membuktikan syarikat teknologi tempatan mampu bekerjasama menghasilkan penyelesaian AI yang praktikal bagi menangani cabaran dunia sebenar dalam bidang perniagaan dan keselamatan siber.

 

Beliau berkata, penggunaan AI membolehkan syarikat memainkan peranan lebih aktif dalam membantu perniagaan beralih daripada pendekatan pengisytiharan kendiri kepada proses pematuhan yang lebih tersusun, pintar dan proaktif.

 

Katanya, bot AI “Mina for PCI” dijangka membantu mengurangkan kos pensijilan selain mewujudkan pengalaman pematuhan yang lebih standard dan efisien kepada peniaga yang masih belum mematuhi PCI DSS ketika ini.

 

Sementara itu, Pengerusi LGMS Berhad, Fong Choong Fook berkata, penggunaan AI dalam proses pensijilan PCI DSS dapat membantu mengurangkan kos pematuhan, mengurangkan tekanan terhadap jumlah profesional QSA yang terhad serta memperluaskan akses kepada pensijilan keselamatan siber untuk lebih banyak perniagaan.

 

Selain PCI DSS, Infomina AI dan LGMS merancang memperluaskan penggunaan rangka kerja Mina AI kepada pelbagai lagi penilaian keselamatan siber, pensijilan dan aplikasi berkaitan pematuhan pada masa depan, termasuk potensi pengembangan ke pasaran Asia Tenggara - DagangNews.com