Infoline Tec menang kontrak pembangunan apartmen servis 30 tingkat bernilai RM9.65 juta di Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infoline Tec menang kontrak pembangunan apartmen servis 30 tingkat bernilai RM9.65 juta di Terengganu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jan - Infoline Tec Group Berhad menerima kontrak daripada Niaga Sari Sdn Bhd yang bernilai RM9.65 juta untuk projek pembangunan sebuah apartmen servis 30 tingkat di Terengganu.


Surat penganugerahan tender berkenaan diraih oleh subsidiarinya, Infoline IT Solutions Sdn Bhd, yang melibatkan sub-kontrak bekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan kerja elektrik. 


Kontrak berkenaan jelas kumpulan rumusan infrastruktur teknologi maklumat tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih syarikat itu sepanjang tempoh kontrak.


"Lembaga Pengarah Infoline Tec menegaskan yang kontrak ini tidak menjejaskan modal saham atau struktur pemilikan syarikat," tambahnya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Menurutnya, tender baharu tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan berkenaan dan tiada keperluan mendapat kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa.


Syarikat ditubuhkan pada 2013 dan berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak.


Selain itu, ia selaras kepentingan terbaik syarikat dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak dalam tender berkenaan. - DagangNews.com