Inflasi terus meningkat boleh cetuskan risiko kenaikan OPR - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi terus meningkat boleh cetuskan risiko kenaikan OPR - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - Risiko kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) masih wujud jika inflasi terus meningkat akibat ketegangan geopolitik global yang berterusan, kata penganalisis pasaran.

 

RHB Research berpandangan kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas masih tidak boleh diketepikan sekiranya inflasi meningkat lebih tinggi dan berpanjangan berbanding jangkaan semasa.

 

Dalam nota penyelidikannya susulan keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis, firma itu berkata, risiko kenaikan inflasi masih wujud susulan ketegangan geopolitik global yang terus mengekalkan harga tenaga pada paras tinggi.

 

Menurutnya, keadaan itu boleh membawa kepada kesan limpahan yang lebih besar terhadap inflasi domestik.

 

“Walaupun ini bukan senario asas kami, sekiranya harga minyak melonjak kepada AS$140 setong akibat ketegangan geopolitik yang berpanjangan, inflasi keseluruhan boleh meningkat sekitar 3.2%.

 

“Dapatan empirikal kami menunjukkan peningkatan 1% dalam harga Brent boleh meningkatkan indeks harga pengguna (CPI) sebanyak kira-kira 0.01 mata peratusan pada bulan semasa dan 0.02 mata peratusan pada bulan berikutnya,” katanya.

 

BNM semalam mengumumkan kadar OPR dikekalkan pada paras 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), sejajar jangkaan pasaran.

 

Bank pusat itu berkata, kadar semasa masih sesuai bagi memastikan kestabilan harga berterusan serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan walaupun ketidaktentuan global semakin meningkat.

 

Sementara itu AmBank Economics berkata, BNM dilihat tidak cenderung untuk menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat selagi risiko inflasi kekal terkawal dan pertumbuhan ekonomi terus disokong permintaan domestik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu boleh dilihat jika kenyataan BNM semalam dan pada mesyuarat terdahulu diambil kira.

 

Katanya, dalam kenyataan sebagai panduan masa hadapannya, BNM menyatakan pendirian dasar monetari semasa adalah “sesuai dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi mampan”.

 

"Kenyataan itu menggantikan frasa terdahulu bahawa dasar monetari adalah “sesuai dan menyokong ekonomi dalam keadaan kestabilan harga”, yang pada kami memberi satu isyarat BNM tidak akan menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

 

"Kami kekal dengan pandangan kami, BNM kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati memandangkan isi rumah dan sektor perniagaan dijangka terus berdepan peningkatan kos operasi dalam keadaan 'tekanan permintaan yang masih terkawal'," katanya.

 

AmBank Economics menambah, BNM mengunjurkan kadar inflasi berada dalam lingkungan 1.5% hingga 2.5% bagi tahun ini.

 

"Unjuran tersebut dilihat realistik memandangkan kerajaan masih meneruskan subsidi bahan api yang membantu mengekang tekanan harga pengguna," katanya.

 

Bagaimanapun, BNM dilihat semakin memberi perhatian terhadap risiko kelembapan ekonomi yang berpunca daripada sektor luaran susulan ketidaktentuan geopolitik global, kata AmBank Economics.

 

Sementara itu, MBSB Research turut menjangkakan inflasi keseluruhan meningkat kepada 2% pada 2026 berbanding 1.4% pada 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketegangan geopolitik yang berlarutan dijangka terus menyokong persekitaran inflasi “tinggi untuk tempoh lebih lama” susulan harga tenaga global yang kekal tinggi.

 

Dalam masa sama, MBSB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.2% bagi tahun ini, namun memberi amaran mengenai risiko penurunan yang berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik serta perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

 

Menurutnya, pelaksanaan tarif berskala besar dan kemungkinan sekatan khusus terhadap sektor semikonduktor boleh menjejaskan sektor elektronik negara yang menjadi antara pemacu utama eksport Malaysia.

 

“Permintaan luaran juga dijangka berdepan tekanan sekiranya ketegangan perdagangan global terus memuncak,” katanya.

 

Di peringkat domestik, firma itu turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi boleh dipengaruhi oleh sentimen pengguna yang lebih lemah serta peningkatan tekanan harga apabila syarikat memindahkan kos input lebih tinggi kepada pengguna. - DagangNews.com