Inflasi perubatan dijangka meningkat pada suku ketiga, berisiko kepada sektor insurans - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi perubatan dijangka meningkat pada suku ketiga, berisiko kepada sektor insurans - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Mei - MBSB Research menjangkakan sektor insurans Malaysia akan mengekalkan momentum kukuh pada suku pertama 2026 (1S26), namun memberi amaran tekanan berpotensi muncul pada suku-suku berikutnya susulan peningkatan inflasi perubatan dan ketidaktentuan persekitaran makroekonomi global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi industri pada 2025 disokong oleh pengalaman tuntutan yang lebih terkawal, dengan inflasi tuntutan perubatan mencatatkan kadar 5.3% tahun ke tahun (YoY), terendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Menurutnya, keadaan tersebut didorong oleh pelaksanaan berterusan langkah pengawalan kos oleh syarikat insurans.

 

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan momentum itu mungkin tidak berkekalan dalam jangka sederhana.

 

“Suku-suku seterusnya dijangka berdepan kesan negatif daripada konflik geopolitik berterusan dan impaknya terhadap ekonomi tempatan. 

 

"Kelembapan jualan serta peningkatan semula inflasi perubatan akibat gangguan logistik global merupakan antara kebimbangan utama,” katanya dalam nota sektor terbaharu.

 

Firma itu turut menekankan risiko gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Timur Tengah, termasuk perkembangan di Selat Hormuz, yang berpotensi meningkatkan harga global ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

 

Menurut laporan tersebut, terdapat indikasi kenaikan harga ubat antara 30% hingga 40%, selari dengan makluman Kementerian Kesihatan mengenai peningkatan kos bagi beberapa produk farmaseutikal dan peranti perubatan.

 

Walaupun bekalan semasa dilaporkan mencukupi sehingga Jun, tekanan inflasi perubatan dijangka kembali meningkat dalam suku-suku seterusnya bagi tahun kalendar 2026.

 

Dalam jangka pendek, prospek sektor kekal positif dengan 1S26 dijangka meneruskan prestasi kukuh suku keempat 2025 (4S25), memandangkan kesan penuh konflik global masih belum dirasai. - DagangNews.com